Lelaki dipenjara 3 tahun, denda RM5,130 kerana hina dan ugut bunuh raja


Mahkamah di Kemboja menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun terhadap seorang lelaki kerana menghina raja dalam penulisannya di Facebook. 

Tertuduh, Ieng Cholsa, mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun selain diperintah untuk membayar denda RM5,130. 

Menurut Artikel 437 (undang-undang Kemboja), mana-mana individu yang menghina raja boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun. Bagi kesalahan ugutan bunuh, pesalah boleh dipenjara enam bulan hingga 2 tahun di bawah Artikel 233. 

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah memuat naik penulisan di Facebook pada Jun lalu yang didapati telah menghina Raja Norodom Sihamoni. 

Bagaimanapun, beberapa pihak yang memperjuangkan hak asasi manusia di negara itu kini bimbang undang-undang 'Lese Mejeste' yang melindungi keluarga diraja akan digunakan untuk menghukum mereka yang berbeza pendapat. 

Difahamkan, Parlimen Kemboja meluluskan undang-undang tersebut pada Februari lalu, yang menyerupai undang-undang negara jirannya, Thailand, yang menggunakannya untuk menyekat pengkritik diraja. - Phnompenhpost