Pemandu Vios positif ganja


Pemandu Toyota Vios berusia 21 tahun yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang, semalam, didapati positif ganja.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata keputusan itu diketahui selepas ujian saringan awal dilakukan terhadapnya.

Menurutnya, polis juga sudah mengambil sampel darah mangsa untuk mengetahui kandungan alkohol dalam badannya.

“Pemandu Toyota Vios berkenaan kini masih mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta kerana mengalami kecederaan di kepala, kaki dan tangan.

“Sebelum ini, dia dihantar ke Hospital Seberang Jaya dan dibenarkan pulang namun pengsan ketika berada di rumah dan dikejarkan ke hospital swasta,” katanya.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi semalam, dua kenderaan masing-masing Toyota Vios hitam dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) putih terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menuju ke Perai.

Pemandu Toyota Vios berusia 21 tahun dan bekerja sebagai pendandan rambut cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut manakala SUV putih itu pula berpusing beberapa kali sebelum terjunam dalam laut.

Identiti pemandu SUV itu dikenal pasti sebagai Moey Yun Peng, 20, selepas bapanya membuat laporan polis jam 5 petang, semalam kerana anaknya yang juga penuntut sebuah kolej swasta itu masih tidak pulang.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata, pemandu Toyota Vios dan SUV itu adalah rakan sejak di bangku sekolah dan mereka dalam perjalanan pulang selepas menyambut parti hari jadi di sebuah kelab di Lebuh, Chulia, Georgetown.

“Mereka berdua bersama lima lagi rakan baru selesai menyambut hari jadi dan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di seberang. Lima lagi rakan mereka pula tinggal di bahagian pulau,” katanya.

Menurutnya, polis juga sedang menyiasat sama ada mereka berlumba atau sebaliknya.

Sumber: Berita Harian

BERITA BERKAITAN: