Pesawat ditunda 2 jam, penumpang baling duit syiling dalam enjin


Penerbangan pesawat China Eastern Airlines dari bandar Anhui ke Shanghai terpaksa ditunda hampir dua jam pada Selasa lalu selepas kakitangannya menemui bukti bahawa salah seorang penumpangnya cuba membaling duit syiling ke dalam enjin pesawat. 

Dua keping duit syiling ditemui di mana salah satunya ditemui di hujung enjing dan sekeping lagi di lantai berhampiran. 

Polis kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tetapi gagal mengesan aktiviti berbahaya itu. 

Selepas itu, penumpang pesawat ditanya jika ada di antara mereka yang cuba membaling duit syiling ke dalam enjin pesawat dan berjanji tidak akan mengambil tindakan terhadap mereka yang tampil mengaku berbuat demikian. Tetapi tiada seorang pun yang tampil. 

Kejadian membaling duit syiling ke dalam enjin pesawat bukanlah kejadian pertama. Pada tahun 2017, seorang penumpang warga emas berbuat demikian dengan alasan agar perjalanan mereka tidak ditimpa musibah. 

Tindakan warga emas berusia 80 tahun itu menyebabkan pesawat China Southern Airlines di Lapangan Terbang Shanghai Pudong terpaksa ditunda selama lima jam dan menyebabkan kerosakan pada enjin serta mengalami kerugian berjuta yuan. 

Bagaimanapun, warga emas berkenaan tidak didakwa kerana usianya yang sudah tua. 

Sumber: Shanghaiist