Pelajar mati ditikam 10 kali kerana enggan beralih tempat duduk dalam bas


Seorang pelajar sekolah vokasional didakwa telah menikam seorang remaja dalam kejadian di sebuah bas di Bangkok pada petang Ahad lalu, lapor Asia One. 

Mangsa, Kamolchat Saen-aroon, 18, disahkan meninggal dunia di Hospital Theptharin selepas ditikam sebanyak 10 kali dengan senjata tajam.

Pemandu bas yang menyedari kejadian itu segera memandu ke balai polis berdekatan dan remaja berusia 17 tahun itu terus ditahan pada jam 6.30 petang. 

Ketua Polis Tha Rua, Sombat Kaenwichit berkata, suspek yang dikenali sebagai Ae, didakwa atas tuduhan membunuh dan membawa senjata tajam di tempat awam tanpa lesen. 

"Ae mengaku telah menikam Kamolchat kerana dia enggan beredar dari tempat duduknya di bahagian belakang bas," katanya. 


Dalam keterangannya Ae berkata, dia dan teman wanitanya duduk di bahagian belakang sejak menaiki bas itu dan dia tidak mahu ada orang lain duduk berdekatan dengan mereka. 

Bagaimanapun, Ae mengubah keterangannya semalam di mana dia mendakwa kejadian itu berpunca dari dendam di antara dia dengan mangsa yang telah terpendam lama. 
Loading...