'Arwah baru pandai pusingkan badan, dia terselit..' - Bayi meninggal dunia kerana terselit di tepi katil


Hati ibu mana yang tidak sedih, anaknya yang berusia lima bulan meninggal dunia akibat otaknya bengkak kerana kekurangan oksigen dalam kejadian Januari lalu. 

Menurut Nursafiah Edy, anaknya, Muhammad Eddy Huzairy, terselit di tepi katil bayi yang menyebabkannya mengalami kekurangan oksigen.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) selama lima hari sebelah disahkan meninggal dunia.  

"Ramai yang tanya bagaimana kejadian itu berlaku dan ada yang kata saya cuai. Tetapi ibu mana yang nak anak dia jadi begini? 

"Di sini contoh yang saya boleh gambarkan. Beginilah kedudukan arwah sewaktu saya nak ambil dan susukan dia. Muka dia sepenuhnya menghadap tilam itu," katanya. 

Difahamkan, Huzairy baru mahir memusingkan badannya. Ketika itu, Huzairy yang sedang tidur ditinggalkan di katilnya, sementara keluarganya makan. 

"Waktu kami tinggalkan dia untuk makan, dia sedang tidur dan arwah baru pandai pusingkan badan. 


"Dia tak jatuh, dia terselit. Banyak salah faham kata dia jatuh tetapi bukan begitu. Doktor pun sahkan dia tidak mengalami pendarahan apa-apa. Cuma otak dia bengkak kerana kekurangan oksigen," katanya. 

Nursafiah tidak menyalahkan katil tersebut tetapi menasihatkan ibu bapa agar berhati-hati apabila menggunakan katil seperti itu kerana kainnya boleh melentur. 





Sudah 48 hari pemergian arwah, Nursafiah masih mengunjungi pusara anaknya kerana terlalu merindui si kecil itu. Semoga Allah berikan kekuatan kepada si ibu dan keluarga arwah untuk menerima ketentuanNya ini.

Sumber: Nursafiah Edy