PUBG Mobile diharamkan, pelajar diminta fokus pada peperiksaan


Pihak berkuasa di Gujarat, India, telah mengharamkan permainan popular PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) versi mobile di bandar Rajkot dan Surat. 

Mana-mana individu yang didapati bermain permainan itu di tempat awam boleh dikenakan penalti, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak polis dan larangan itu berkuat kuasa sehingga 30 April depan. 

Kenyataan itu turut menyatakan, individu yang bermain PUBG Mobile atau mengambil bahagian dalam Momo Challenge akan didakwa di bawah Seksyen 144 Akta Prosedur Jenayah 1973 dan Seksyen 37 (3) Akta Polis Gujarat. 

Kedua-dua akta itu membenarkan pihak berkuasa menghalang perhimpunan awam (lebih dari empat orang) di kawasan yang telah ditetapkan. 

Pihak berkuasa Gujarat menegaskan permainan itu menyebabkan peningkatan kes keganasan di kalangan kanak-kanak dan belia. 

Selain itu, terdapat kes di mana persekolahan kanak-kanak terjejas akibat permainan itu yang memberi kesan terhadap gred mereka di sekolah. 

Memandangkan kebanyakan kanak-kanak sekolah bakal menghadapi peperiksaan, pihak berkuasa bersetuju melaksanakan larangan permainan PUBG itu yang juga dilihat sebagai tempoh percubaan awal bagi melaksanakan larangan tersebut. 

Sementara itu, Tencent Games mengeluarkan kenyataan yang pihaknya akan bekerjasama dengan golongan ibu bapa, warga pendidik dan pihak berkuasa berhubung perkara itu. 

Sumber: Techradar
Loading...