'Suspek enggan beri kerjasama, hanya menangis' - Wanita tak mengaku buang bayi dalam mangkuk tandas


Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam mangkuk tandas sebelum diselamatkan pengawal keselamatan di sebuah hospital di Selayang, semalam. 

Bayi itu ditemui seorang wanita yang berada di lokasi ketika seorang wanita dipercayai ibu kepada bayi berkenaan membuangnya ke dalam mangkuk andas pada jam 3 petang. 

Saksi, Noor Shakina Ramli, 35, yang menemui bayi itu berkata, dia terdengar tangisan bayi itu. Sebaik saja keluar dari tandas, dia mendapati tiada sesiapa di tandas pertama namun masih mendengar tangisan bayi. 

"Saya pun tolak pintu tandas kedua dan terus nampak kepala bayi dalam mangkuk tandas di situ. Memang terkejut tapi tak berani nak pergi ambil bayi tu, masa tu panik sangat.

"Bila berpusing nak keluar, tiba-tiba ramai orang yang cuba menahan kerana menyangka saya ibu kepada bayi itu. Tangan lutut menggeletar tak habis lagi nampak bayi dalam tandas, tiba-tiba kena serbu pula. Memang tak tahu nak cakap macam mana perasaan pada masa itu. 

"Terus saya menjerit saya bukan ibu bayi dan nak keluar untuk dapatkan bantuan sebab bayi masih hidup," katanya. 

Menurut Noor Shakina, dia percaya wanita bertubuh kurus memakai baju dan tudung hijau, skirt labuh yang bercakap dengannya sebelum ini adalah ibu kepada bayi tersebut. 

"Masa saya masuk ke dalam bilik air di bahagian kecemasan hospital, dua tandas yang terdapat di situ sedang digunakan dan dia bersama seorang lagi wanita menunggu di luar. 

"Lama kami menunggu tetapi tiada siapa yang keluar. Kemudian keluar seorang perempuan berbadan gempal dari tandas pertama dan wanita yang menunggu bersama saya tadi masuk ke tandas tersebut. 

"Selepas itu, keluar seorang wanita kurus berusia lingkungan 30-an dari tandas kedua dan saya pun nak masuk ke tandas tapi dia tak bagi. Katanya ada barang tertinggal. Jadi saya pun tunggu lagi dan dia masih tak keluar-keluar," katanya yang kemudian masuk ke tandas pertama. 

"Saya percaya wanita itu adalah ibu kepada bayi itu dan barang yang dimaksudkannya itu sebenarnya adalah bayinya," katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, ibu kepada bayi itu dibawa pengawal keselamatan dan ditahan di zon merah hospital sama. 

"Seorang pekerja kilang memaklumkan ketika dia berada di tandas wanita berhampiran zon kecemasan, dia mendapati seorang wanita tidak dikenali membuang bayi ke dalam mangkuk tandas. 

"Wanita itu kemudiannya memaklumkan kepada pengawal keselamatan sebelum bayi itu diselamatkan dan dihantar ke zon merah. 

"Bayi itu dalam keadaan stabil dan tidak cedera. Setakat ini suspek enggan beri kerjasama dan hanya menangis. 

"Semakan mendapati dia tidak memiliki rekod jenayah," katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. 

Loading...