Tergamak ibu tinggalkan anak di rumah tanpa makanan sejak Rabu lalu


Tergamak seorang ibu mengurung anaknya di rumah tanpa meninggalkan makanan untuknya, membuatkan jiran yang terdengar suara tangisannya bertindak menghubungi polis untuk meminta bantuan. 

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, sebaik saja pihaknya menerima panggilan itu, pihaknya terus datang ke lokasi dan memecahkan pintu rumah terbabit di Taman Hijrah, Kangar, untuk menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu. 

Kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan. 

Menurut jiran terbabit, dia terdengar suara tangisan kanak-kanak itu sejak Rabu lalu. Oleh kerana kasihan melihat keadaannya, jiran memberinya makanan setiap hari melalui tingkap rumah berkenaan. 

Bimbang perkara yang tidak diingini berlaku mendorong mereka melaporkan perkara itu kepada polis. 

Noor Mushar berkata, pihaknya terpaksa memecahkan pintu rumah tersebut berikutan pintu jeriji dikunci dengan mangga. 

Kanak-kanak terbabit kini di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. 

Sumber: Harian Metro
Loading...