'Bayi itu tercampak keluar dari kereta, meninggal sebaik kami tiba di hospital' - Saksi


Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan meninggal dunia selepas Perodua Kenari yang dinaikinya dilanggar dari arah belakang, menyebabkan kenderaan itu berpusing sebelum terbalik di tengah jalan. 

Dalam kejadian awal pagi tadi di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, bapanya berusia 29 tahun parah di badan, kepala dan kaki, manakala ibunya, 22, parah di badan, kaki dan muka serta anak perempuan sulung berusia dua tahun cedera ringan di kaki. 

"Kami tadi tolong angkat dan hantar anak akak itu ke HSA. Baby yang kecik, yang tercampak ke susur jalan bawah itu meninggal dunia setibanya kami di hospital.

"Yang besar (bapa mangsa) sakit kaki patah, mak dia yang kami tahu, diorang pakaikan mesin pernafasan," kata saksi. 


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, Nur Auliya Inara Mohamad Nirzaudy Haiqal berada di tempat duduk penumpang hadapan, meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA). 

Siasatan awal mendapati, Perodua Kenari yang dinaiki empat sekeluarga itu dipercayai dari Stulang Laut menghala ke rumah di Taman Tampoi Utama, dilanggar Mercedes E250 dari arah belakang di lorong yang sama. 

Pemandu Kenari hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan terlanggar tembok pembahagi jalan yang kemudian berpusing sejauh kira-kira 30 meter sebelum terbalik. 

"Bayi itu meninggal dunia di Wad Kecemasan HSA dan bedah siasat akan dijalankan di Jabatan Forensik HSA. Ibu bapanya masih dirawat di ZOn Merah HSA, manakala kakak mangsa hanya luka ringan di kaki kiri. 

"Ujian air kencing ke atas pemandu Mercedes E250 berusia 42 tahun itu menunjukkan keputusan negatif. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. 

Sumber: Harian Metro
Loading...