Bayi tak sedarkan diri selepas diberi makan epal lenyek


Seorang bayi lelaki berumur sembilan bulan dilaporkan tidak sedarkan diri selepas diberi makan buah epal lenyek oleh pengasuhnya. 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 9:15 pagi Isnin di sebuah taska di Taman Mesra, Kupang, Baling, mangsa, Muhammad Fawwaz Mohd Fadlan diberi makan buah epal lenyek oleh pengasuhnya di ruang dapur taska. 

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, mangsa tiba-tiba menangis dengan kuat kerana mahu mengikut penyelia pengasuh sebelum tidak sedarkan diri. 

Mangsa yang masih bernyawa pada waktu itu kemudian dibawa oleh penyelia ke Klinik Kupang sebelum dirujuk ke Hospital Baling. 

Namun sebaik saja tiba di hospital, mangsa disahkan sudah tiada dan pemeriksaan terhadap mangsa tidak menemui sebarang kesan luka atau lebam di badan. 

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk dibedah siasat.

Sementara itu, ibu mangsa, Munirah Abd Rahman, 38, berkata, anak bongsunya daripada enam beradik pada waktu kejadian sedang makan bersama seorang lagi bayi.

"Epal itu sudah dipotong kecil dan dilumatkan. Tapi anak mungkin tertelan ketika mengunyah menyebabkannya tercekik.

"Selain arwah, saya difahamkan ada seorang lagi bayi yang disuapkan makanan sama. SAya rasa anak pengasuh itu sendiri yang sebaya anak.

"Secara tiba-tiba, anak menangis dan keadaannya terus menjadi lemah. Pengasuh itu menyangka anak tercekik dan sedaya upaya mengorek isi epal berkenaan.

"Namun, dia tidak terjumpa apa-apa, tetapi keadaan Muhammad Fawwaz terus lemah sehingga tidak sedarkan diri.

"Pihak pengurusan taska kemudian segera menghantar Muhammad Fawwaz ke Klinik Kesihatan Kampung Landak dan dirujuk ke Hospital Baling sebelum disahkan sudah tiada," katanya yang juga redha dengan ketentuan takdir. 

Sumber: Harian Metro
Loading...