Betis, punggung murid dirotan guru dengan pembaris sampai lebam kerana terlupa bawa buku


Seorang murid lelaki mendakwa dirotan oleh gurunya sehingga mengalami bengkak dan lebam di betis hanya kerana tertinggal buku teks dan latihan subjek Pendidikan Islam. 

Dalam kejadian Isnin lalu di sebuah sekolah kebangsaan di Kangar, murid Tahun Lima berkenaan mendakwa dimalukan di hadapan rakan sekelas apabila guru lelaki berusia lewat 30-an itu memerlinya supaya mengikuti kelas Pendidikan Moral berbanding kelas Pendidikan Islam.

Bapa mangsa, Rizal, 42, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas anaknya menangis kesakitan ketika solat Zohor pada hari sama. 

Rizal sebelum itu dihubungi oleh isteri yang meminta dia pulang ke rumah kerana anaknya mengadu sakit tidak boleh duduk tahiyat. Selepas diperiksa, alangkah terkejutnya apabila dia mendapati kaki anaknya bengkak dan ada kesan rotan. 

Menurut mangsa, dia telah dirotan oleh gurunya dengan menggunakan pembaris panjang satu meter sehingga patah hanya kerana tertinggal buku. Selain itu, kakinya turut dipukul dan bahagian punggung dipukul sebanyak lima kali. 

Rizal pada awalnya enggan melaporkan kejadian itu kepada pihak polis, tetapi pihak klinik kerajaan menasihatkannya untuk berbuat demikian, mengikut prosedur kes penderaann.

Apa yang mengecewa Rizal, sudah empat hari berlalu tetapi pihak sekolah atau guru terbabit langsung tidak datang bertemu dengannya untuk memohon maaf. 

Susulan itu, Rizal membuat laporan polis dan berharap pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap guru dan pengurusan sekolah berkenaan. 

Mangsa telah mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Tuanku Fauziah, Kangar. Kecederaan mangsa masih belum pulih dan diberi cuti sakit sehingga esok. 

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Superintendan Abdul Shukor Yusoff mengesahkan menerima laporan dari bapa mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. 

Sumber: Harian Metro
Loading...