Budak terlanggar anak ayam, merayu pihak hospital selamatkannya dengan wang simpanan


Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun merayu agar kakitangan hospital menyelamatkan anak ayam yang dilanggarnya dengan basikal secara tidak sengaja, viral di media sosial, lapor Daily Mail.

Derek C Lalchhanhima, dari Sairang, Mizoram, India, dirakam memegang bangkai anak ayam di tangan dan wang kertas 10 rupee (RM0.56).

Menurut rakan kepada keluarga kanak-kanak itu, Derek tidak memahami bahawa anak ayam itu telah mati dan dia merayu agar ibu bapanya membawa haiwan itu ke hospital.

Tiba di hospital, Derek membawa bangkai anak ayam itu berjumpa doktor dan situasi itu sempat dirakam oleh seorang jururawat hospital berkenaan sebelum dimuat naik di media sosial dan viral di seluruh dunia. 

Pihak sekolahnya yang kagum dengan sikap Derek, memberikan anugerah khas kepadanya di atas kemuliaannya itu. 


Rakan kepada keluarga itu, Sanga Says, memuat naik gambar Derek di Facebook selepas bapa Derek, Dhiraj Chhetri, seorang pegawai polis menunjukkan dan menceritakan kepadanya mengenai perkara itu. 

"Saya ketawa dan menangis dalam masa yang sama. Menurut bapa dia, Derek pulang ke rumah dengan anak ayam milik jiran yang telah mati di tangannya. 

"Dia tidak faham yang anak ayam itu telah mati dan merayu agar ibu bapa dia membawanya ke hospital. 

"Bapa dia suruh pergi ke hospital sendiri di mana Derek benar-benar berbuat demikian dengan wang yang ada, 10 rupee," katanya. 

Selepas kakitangan hospital memberitahu anak ayam itu telah mati dan tidak dapat diselamatkan, Derek pulang ke rumah sambil menangis. 

Tetapi Derek mahu membawa bangkai anak ayam itu ke hospital sekali lagi dan kali ini dengan 100 rupee di tangannya. 

"Ibu bapa dia terpaksa menjelaskan kepada dia bahawa anak ayam itu sudah mati dan tiada apa yang dapat dilakukan oleh pihak hospital," kata Sanga. 
Loading...