Bukti kad kredit Najib pernah dicaj RM532,918 untuk perbelanjaan di butik Chanel


Dalam ucapan pembukaan pendakwaan di bilik bicara Mahkamah Tinggi Jenayah 3 semalam, Peguam Negara Tommy Thomas memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, antara bukti akan dikemukakan adalah kredit kad Datuk Seri Najib Razak pernah dicaj sebanyak AS$130,625 (RM532,918.17) bagi perbelanjaan di butik Chanel di Honolulu Amerika Syarikat.

Tommy berkata demikian ketika membaca pernyataan pembukaan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Bekas pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO itu, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC International) berjumlah RM42 juta.

Kesemua tuduhan dibaca di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, dan Najib mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan untuk kesemua tuduhan.

"Pihak pendakwa raya akan cuba membuktikan bahawa sebahagian daripada sejumlah dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, telah digunakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tujuan peribadi.

"Bukti pendakwaan akan menunjukkan Najib telah mengeluarkan sejumlah 15 cek dari akaun peribadi beliau bernilai RM10,776,514.00.

"Turut cuba dibuktikan ialah perbelanjaan sejumlah USD130,625 melalui kad kredit Najib di butik Chanel di Honolulu, Hawaii, serta penggunaan sejumlah cek untuk kerja-kerja pengubahsuaian kediaman peribadi beliau di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, di Pekan, Pahang.

"Selain itu, beberapa cek juga didakwa dikeluarkan bekas Perdana Menteri itu untuk parti-parti komponen di bawah Barisan Nasional.

"Beban pendakwaan kini terletak di atas pasukan pendakwaraya untuk membuktikan, melampaui keraguan yang munasabah, bahawa tertuduh Mohd Najib bin Haji Abd Razak adalah bersalah terhadap setiap tuduhan ke atasnya dalam perbicaraan ini,” kata Thomas sewaktu menutup ucapannya.

Saksi pendakwa raya yang pertama dipanggil ialah penolong pendaftar dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaluddin Abdullah, 35.

Selepas mengangkat sumpah, Muhamad Akmaluddin membacakan semula keterangan saksi di mana beliau mengaku telah diminta oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memeriksa rekod tiga syarikat melalui pangkalan data SSM - SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd, dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Muhamad Akmaluddin berkata, SRC International merupakan anak syarikat milik penuh 1MDB dengan modal permulaan RM1 juta, Gandingan Mentari pula subsidiari SRC International dengan modal permulaan RM1,000, manakala Ihsan Perdana merupakan menjalankan tanggungjawab sosial korporat untuk Yayasan 1MDB dengan modal permulaan RM2.

Beliau juga memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa 1 juta syer dalam dana SRC International Sdn Bhd dipegang Datuk Seri Najib Razak.

Loading...