Cubaan cabul, wanita tendang anu suspek


Cubaan seorang lelaki berusia 20 tahun mencabul seorang wanita menemui kegagalan selepas alat sulitnya ditendang.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, kejadian itu berlaku pada jam 11:50 malam Selasa di sebuah kelab malam di bandar itu. 

"Mangsa berusia 31 tahun adalah pekerja kelab malam itu. Ketika kejadian, mangsa difahamkan sedang mencuci tandas wanita di premis itu sebelum didatangi suspek.

"Suspek masuk ke tandas lalu menarik tangan, sebelum bertindak meraba dan cuba membuka seluar mangsa. 

"Ketika pergelutan itu, mangsa berjaya menendang alat sulit suspek dan menjerit meminta tolong," katanya memetik laporan dari Harian Metro. 

Suspek yang berang dengan tindakan mangsa kemudian bertindak mencekik belakang leher mangsa dan tangannya berterusan meraba dan cuba membuka seluarnya. 

Jeritan mangsa didengari oleh anak majikannya yang kemudian datang ke tandas itu untuk membantu mangsa. Suspek yang panik terus berhenti. 

Mangsa dan anak majikannya terus keluar dari tandas dan melaporkan kejadian itu kepada pihak polis yang membawa kepada penahanan suspek. 

Suspek direman dan dirujuk ke bahagian narkotik untuk pemeriksaan lanjut. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu. 

Sumber: Harian Metro
Loading...