'Dia tak pernah buat begini' - Anak hilang, ibu rayu orang ramai bantu mencari Zahir


"Saya amat bimbang dengan keselamatan Zahir kerana dia tidak pernah berbuat demikian (tidak pulang ke rumah)," demikian kata Sainih Sunding, 46, ibu kepada kanak-kanak berusia lapan tahun yang dilaporkan hilang sejak semalam. 

Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, atau nama panggilan mesranya, Zahir, dikatakan keluar dari rumahnya di Bandar Seri Putra, Kajang, pada jam 8:00 pagi semalam untuk bermain bersama rakannya. 

Bagaimanapun, anak bongsu daripada lima beradik itu yang tidak bersekolah semalam dilaporkan hilang selepas ibunya tidak melihat kelibat Zahir di rumah selepas pulang dari bekerja pada jam 7:00 malam. 

Sainih ada bertanya pada anak ketiganya, namun dia memaklumkan Zahir bermain dengan rakan di sekitar rumah sebelum Sainih mengarahkan dia memanggil adiknya pulang ke rumah. 

Tetapi, Zahir tidak diketahui berada di mana sebelum mereka pergi mencarinya di sekitar kawasan kejiranan itu. 

Menurut maklumat daripada jiran, mereka ternampak Zahir pergi ke kedai berhampiran pada waktu tengah hari semalam. Di sebelah petang pula, Zahir dilihat bermain dengan rakannya di sekitar kawasan kejiranan dan itulah kali terakhir dia dilihat. 


Bimbang dengan keselamatan anaknya itu, Sainih membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Seri Putra, malam tadi. 

"Saya sudah mencarinya di lokasi sekitar Bandar Seri Putra, namun masih belum menemuinya. Kali terakhir dia dilihat memakai baju kemeja T berwarna hitam dan seluar panjang berwarna biru," katanya. 

Justeru, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai Zahir diminta tampil menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu. 

Sumber: Harian Metro
Loading...