Dr Amalina mahu bantu Baby Ainul Mardhiah


Ibu kepada bayi yang menghidap kanser Germ Cell Tumor, Nurul Erwani Zaidi, 24, memaklumkan, Dr Amalina ada menghubunginya melalui WhatsApp dan menyatakan hasrat mahu membantu anaknya, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, lapan bulan. 

Menurutnya, Dr Nur Amalina Che Bakri terdahulu menghubunginya di Instagram meminta nombor telefonnya yang kemudian meminta laporan perubatan Ainul. 

"Dalam perbualan kami, Dr Amalina minta laporan perubatan anak saya kerana akan membawa isu itu kepada doktor di sana termasuk pakar dalam bidang masing-masing. 

"Menurutnya, dia akan sentiasa berhubung dengan saya. Dr Amalina juga beritahu yang UK sedang cuti umum dua hari, jadi dia hanya dapat kemukakan kepada doktor lain laporan perubatan itu, minggu depan (ini) dan akan terus menghubungi saya selepas bermesyuarat dengan doktor lain," katanya memetik laporan dari Harian Metro

Nurul bersyukur dan gembira apabila ada doktor dari luar negara yang sudi membantu anaknya, selain ada seorang doktor tempatan dari hospital swasta juga menyarankan mereka sekeluarga mengisi borang untuk mendapatkan khidmat perubatan di Amerika Syarikat. 

Semalam, Dr Amalina meluahkan rasa sedihnya dengan kisah penderitaan Ainul dan menyatakan dia sedang berhubung dengan ibu Ainul untuk membawa perkara itu untuk dibincangkan bersama pakar-pakar perubatan di tempatnya. 

"Kepada ibu bapa Ainul, bertabah dan berdoa untuk Baby Ainul," katanya.



A post shared by Dr. Amalina (@dramalinabakri) on