'Kalau nak jaga FAM pun sukar sampai terpaksa letak jawatan, bayangkan tanggungjawab seorang PM' - Syed Saddiq persoal gesaan TMJ tukar PM


Baru-baru ini viral di media sosial video yang menunjukkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, "Daripada tukar Mora, baik tukar perdana menteri."

TMJ berkata demikian selepas salah seorang penyokong JDT di stadium di Larkin, Johor, melaungkan "Tukar Mora" yang merujuk kepada jurulatih JDT, Benjamin Mora. 

Hari ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq mempersoalkan mengapa TMJ tidak menggesa Najib Razak digantikan sebagai perdana menteri ketika Malaysia dilabelkan sebagai negara 'kleptokrasi'. Sebaliknya meminta Dr Mahathir yang diberi mandat oleh rakyat pada PRU14 lalu digantikan. 


"Walaupun TMJ gesa orang Johor untuk kekalkan Najib pada PRU14, rakyat tetap bersama Tun Dr Mahathir dan menolak gesaan TMJ.

"Kami berkhidmat demi rakyat. Jatuh bangun kerajaan ini adalah di tangan rakyat. Ini negara demokrasi berpelembagaan. 

"Persoalan saya kepada TMJ, kenapa dahulu bila satu dunia kenali Malaysia sebagai Kleptokrasi, TMJ tidak suruh "tukar Najib" tetapi sekarang suruh Perdana Menteri yang diberi mandat oleh rakyat untuk 'ditukar'? 

"Kalau nak jaga FAM pun sukar sampai terpaksa letak jawatan tidak sampai setahun, bayangkan tanggungjawab seorang Perdana Menteri yang ikhlas mahu memulihkan negara tercinta," katanya dalam kenyataan yang dikongsikan di Instagramnya sebentar tadi. 
Terdahulu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, hanya rakyat yang boleh menukar perdana menteri Malaysia. 

Sementara itu, Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Rais Yatim mengingatkan TMJ agar menyertai parti politik jika mahu bercakap tentang politik. 

"TMJ banyak cakap politik. Tolong rentikan sindir mahukan PM diganti. Itu hak rakyat biasa. Kalau mahu cakap politik, sila daftar masuk parti politik.

"Lopak raja lain, ruang politik lain. Jangan campur aduk ikut selera anak raja saja. Nanti huru-hara rakyat. Tolong waras," katanya di Twitter.