'Mereka pernah bergaduh sebab tuduh suaminya ada hubungan sulit dengan saya' - Lelaki gantung diri selepas lemaskan isteri dengan bantal


Pasangan suami isteri ditemui tidak bernyawa di dalam bilik rumah sewa mereka pada jam 9:00 pagi semalam, di Jalan Pokok Machang, Pulau Pinang.

Mayat pasangan itu ditemui oleh seorang wanita yang juga pemilik rumah tersebut sebelum memaklumkan kepada polis. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan mendapati, wanita itu yang bekerja sebagai operator kilang meninggal dunia akibat lemas yang dipercayai ditekup dengan bantal atau tuala oleh suaminya sendiri. 

Polis turut menemui kesan darah pada kain sari yang disimpul bersebelahan dengan mayat dan terdapat tuala kecil pada mulutnya. 

Polis percaya suami mangsa yang berumur 31 tahun, bekerja sebagai kelindan lori, menggantung dirinya selepas melemaskan mangsa. 

"Wanita itu ditemui terlentang dan berselimut sehingga ke paras dada, dengan mukanya bengkak serta mulut berdarah, ditutupi tuala kecil berwarna putih. 

"Manakala mayat suaminya ditemui tergantung dengan kain sari yagn dililit pada kayu kekuda di atas bilik," katanya.


Sementara itu, pemilik rumah, DM Nirmala, 30, berkata, pasangan itu telah berkahwin selama lima tahun, menyewa rumahnya sejak sebulan lalu dan tidak mempunyai anak.

Nirmala mendakwa, suami isteri itu selalu bertengkar mengenai perkara yang melibatkan wang dan cemburu. 

"Pagi tadi dalam jam 9:00 pagi, saya baru balik dari tempat kerja. Saya hairan tengok motosikal mereka masih ada di depan rumah. Biasanya pagi-pagi mereka sudah pergi kerja.

"Saya rasa tak sedap hati, lepas itu ketuk pintu bilik tapi tak dibuka. Saya cuba buka dan tengok bilik tak berkunci. Saya nampak si isteri terbaring atas katil, suami dia pula tergantung pada alang. 

"Sebelum kejadian, mereka tidak menunjukkan apa-apa perubahan. Cuma si isteri terlalu cemburu dan saya pernah terdengar mereka bertengkar pasal isu duit dan cemburu. 

"Mereka juga pernah gaduh sebab si isteri tuduh suaminya ada hubungan dengan saya," katanya.

Motif sebenar kejadian masih dalam siasastan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Loading...