PDRM sahkan berlaku transaksi pembayaran berlian RM95 juta guna duit 1MDB


Isnin lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah mendedahkan, isteri kepada VVIP tidak membeli berlian merah jambu seperti yang didakwa. Sebaliknya, ejen jualan yang membawa masuk berlian tersebut dan barang kemas lain ke Malaysia dan diisytihar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia. 

Menyambut baik pendedahan itu, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bersyukur kerana kebenaran telah dirungkai dan ternyata dia dan isterinya, Datin Seri Rosmah telah difitnah oleh pihak pembangkang pada ketika itu. 

Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bagaimanapun menegaskan, penjelasan Amiruddin di Dewan Rakyat itu tidak menidakkan fakta siasatan Amerika Syarikat bahawa pembelian berlian itu dibayar dengan menggunakan wang 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). 

“Kalau ikut fakta siasatan Amerika Syarilkat bahawa berlian itu dibayar menggunakan wang 1MDB. Tiada yang persoal wang itu dibayar dan tujuannya ialah untuk diberikan hadiah pada Rosmah. Najib (pula) kata berlian itu ada, dan dibayar oleh orang lain, bukan duit 1MDB, sebagai hadiah kepada Rosmah. Tentang Rosmah yang akhirnya tidak dapat berlian itu tidak menidakkan fakta bahawa berlian itu dibeli menggunakan wang 1MDB,” katanya lagi.

“Contohnya sebelum ini apabila, Rosmah ditanya mengenai cincin dia cakap itu atas nama besan. Sama juga dengan kapal Equaminity sampai sekarang kita tak tahu siapa pemiliknya. Kita berjaya membuktikan pemilik sebenarnya ada kaitan dengan Jho Low. Jadi kalau ditanya di Parlimen adakah Jho Low memiliki Equaminity, ia akan cakap ia dimiliki syarikat sekian-sekian. Bukan Jho Low,” jelasnya lagi.

Hari ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa terdapat bukti jejak kewangan berlaku transaksi pembelian berlian tersebut yang bernilai US$23 juta (RM95 juta). 
Perkara itu disahkan Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia KPN Bukit Aman, Datuk Khalil Azlan Chik. 

"Transaksi pembelian itu dikesan daripada seorang peniaga barang kemas di New York dengan menggunakan wang syarikat 1MDB. 

"Walaupun berlian merah jambu tersebut gagal ditemui sewaktu serbuan polis, namun bukti terkumpul jelas membuktikan wujud transaksi pembelian," katanya. 

Sumber: PDRM, Astro Awani