Pelajar bunuh diri selepas dilarang bermain PUBG


Beberapa bandar di Gujarat, India telah mengharamkan permainan PUBG kerana bimbang permainan itu membuatkan golongan belia menjadi ganas dan mengabaikan akademik. 

Dalam kejadian baru-baru ini, seorang remaja lelaki di selatan India bertindak membunuh diri selepas dimarahi ibunya kerana bermain PUBG, mencetuskan perdebatan rakyat di negara itu sama ada permainan itu patut diharamkan atau sebaliknya. 

Bapa kepada mangsa berusia 16 tahun itu mendesak permainan PUBG diharamkan serta-merta selepas anaknya membunuh diri dengan menggantung dirinya di kipas siling di kediaman mereka di Hyderabad. 

Difahamkan, remaja terbabit sering kali menghabiskan masa dengan bermain PUBG berbanding mengulangkaji pelajarannya untuk menghadapi peperiksaan bahasa inggeris yang bakal tiba tidak lama lagi. 

Di India, golongan ibu bapa berharap anak-anak mereka berjaya dalam akademik dan mendapat kerjaya profesional apabila dewasa kelak. Mereka juga menyokong permainan itu diharamkan kerana ia boleh mengganggug fokus anak-anak untuk maju dalam akademik. 

Sumber: India Express