Putrajaya mahu kembalikan status Sabah, Sarawak ikut MA63, tetapi BN, PAS, GPS tak sokong



Cadangan kerajaan untuk meminda perlembagaan bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak mengikut perjanjian pembentukan Malaysia 1963 gagal diluluskan ekoran hanya 138 anggota parlimen yang menyokong, manakala 59 lagi berkecuali. 

Usul pindaan perlembagaan itu hanya boleh diluluskan sekiranya mendapat sokongan dua pertiga (148) daripada anggota Dewan Rakyat. 

Anggota parlimen yang bersikap berkecuali semasa undian itu dijalankan adalah dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Barisan Nasional (BN), dan PAS. 

Meskipun gagal, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menyalahkan anggota parlimen Sarawak (GPS) dan berkata mereka berhak untuk mengundi menolak. 

Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, anggota parlimen BN dan PAS menjadi punca RUU itu gagal mendapat majoriti undi dua pertiga.

Anwar menjelaskan, pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan berkenaan adalah antara janji manifesto PH pada PRU14. 

Di media sosial, netizen meluahkan rasa kecewa mereka terhadap anggota parlimen pembangkang yang menghalang usaha kerajaan mengembali status Sabah dan Sarawak mengikut perjanjian pembentukan Malaysia 1963.

"Kerajaan nak pinda, kurang undi dua pertiga. Selepas ini jangan salahkan kerajaan. Nak buat pun salah, tak buat pun salah," kata Bajikaya. 

"Yang menolak pun anggota parlimen GPS dari Sarawak. Patutnya sokonglah demi kemakmuran, kesenangan rakyat Sabah dan Sarawak," kata Faizal. 

"PH nak bagi Sabah dan Sarawak kebebasan, peluang ini hanya sekali tetapi anggota parlimen yang dipilih rakyat Sarawak berkecuali hanya kerana kepentingan politik peribadi," kata Tung. 

"Sabah dan Sarawak kata nak tuntut kesamarataan wilayah, bila dah diusul, tak mahu pula. Kasihan rakyat Sabah Sarawak," kata Zain. 

Loading...