'Saya dituduh langgar pasangan ini' - Jururawat kecewa, niat nak bantu disalahertikan


Agaknya sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita untuk menjatuhkan tuduhan sebelum mengetahui fakta kejadian sehingga menyebabkan orang yang tidak bersalah difitnah dan dikecam teruk oleh orang ramai. 

Sikap sebegini seharusnya dikikis dari dalam diri dan digantikan dengan sikap menyelidik perkara yang dilihat atau didengar bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang. 

Luahan jururawat viral di media sosial di mana beliau kesal ada pihak yang mendakwa sepasang suami isteri bermotosikal cedera kerana dilanggar olehnya. Sedangkan beliau pada ketika itu hanya menghulurkan bantuan kepada pasangan berkenaan. 

ASSALAMUALAIKUM, hai. dah lama sangat-sangat saya tak post apa-apa di wall Facebook melainkan saya nak kongsikan sesuatu. Kebetulan hari ini telah berlaku satu kejadian yang tidak disangkakan terjadi di depan mata. Alhamdulillah Allah SWT bukakan hati untuk menolong, atas dasar niat yang ikhlas. 

Tetapi, rupa-rupanya berlaku sebaliknya. Niat yang baik bertukar menjadi kecewa dan sedih kerana sikap manusia yang suka menokok tambah cerita dari yang fakta menjadi auta. 

Ceritanya, dalam perjalanan nak pergi kerja lebih kurang jam 7:45 pagi, saya ternampak sepasang suami isteri terjatuh dari motosikal. Lalu saya pusing semula denga niat ingin membantu. 

Si suami hanya cedera akibat geseran di bahagian siku dan lutut kanan. Tetapi isterinya terbaring tidak sedarkan diri lebih kurang seminit. 

Setelah beberapa kali memanggil, isterinya pun mulai sedar. Kepalanya ada pendarahan sedikit akibat luka di kulit kepala lebih kurang satu inci. Maka suaminya, saya dan dua orang awam antara yang menyaksikan kejadian itu berusaha mengangkat mangsa masuk ek dalam kereta saya untuk dibawa ke klinik. Sepanjang perjalanan, saya pastikan isterinya dalam keadaan sedar dan suami ditenangkan. 

Sampai di klinik, rawatan dilakukan dengan bantuan rakan-rakan sejawat. Mangsa wanita dirujuk ke hospital untuk rawatan selanjutnya yang juga sebagai langkah jangaan keselamatan akibat tidak sedarkan diri kurang seminit.

Saya lega kerana dapat membantu tetapi kelegaan itu bertukar menjadi kecewa disebabkan ada yang menuduh saya melanggar mangsa. 

Di sini saya ingin menekankan bahawa kedua-dua mangsa jatuh sendiri akibat membawa motosikal melebihi had kelajuan yang sepatutnya serta dalam masa sama brek motosikal elektrik tidak berfungsi dengan baik. 

Kenyataan itu dimaklumkan sendiri oleh suami mangsa kepada rakan-rakan serta orang ramia yang membantunya. Saya mohon nama saya dibersihkan dari tuduhan melanggar mangsa. Saya juga mohon maaf jika saya ada melakukan kekasaran sepanjang bantuan yang saya berikan. 

Sumber: Nur Isra
Loading...