Tak makan teguran, lelaki gergaji kepala perokok


Dua lelaki yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital selepas berlaku pergaduhan di antara mereka di sebuah kedai makan di Lorong 25A Geylang, Singapura, dalam kejadian Rabu 3 April, lapor AsiaOne

Polis mengesahkan kejadian itu berlaku pada jam 8:50 malam Rabu di mana suspek dan mangsa yang masing-masing berusia 51 dan 53 tahun dibawa ke Hospital Tan Tock Seng. 

Difahamkan, kejadian itu mula berlaku selepas suspek menegur mangsa yang merokok di sebelah meja mereka dan asap rokoknya telah mengganggu ketenangan mereka untuk menikmati makanan. 

Bagaimanapun, mangsa pula membalas dengan kata-kata yang menyakitkan hati dan menegaskan dia tidak bersalah kerana dia berada di zon dibenarkan merokok. 

Beberapa pelanggan yang lain juga ada menegur mangsa, tetapi tidak diendahkan sehingga suspek terpaksa menegur buat kali kedua. 

Mangsa berang lalu meninggikan suaranya bahawa dia berhak untuk merokok di situ. 

Suspek kemudian beredar dari kedai itu sebelum kembali semula dengan gergaji di tangannya lalu menyerang menyebabkan lelaki itu cedera dari bahagian telinga hingga pipi. 

Mangsa membalas serangan itu dengan memukul kepala suspek menggunakan botol arak yang menyebabkan pendarahan. 

Menurut saksi, kedua-duanya cedera terutamanya mangsa yang mengalami banyak pendarahan. 

Sementara itu pemilik kedai, Liang, berkata, mangsa merupakan pelanggan tetapnya tidak pernah menimbulkan sebarang masalah dengan pelanggan lain. 

Suspek ditahan kerana sengaja mendatangkan kecederaan pada mangsa dengan menggunakan senjata berbahaya dan kes masih dalam siasatan polis.
Loading...