'Tiada siapa di Malaysia yang kebal undang-undang' - PM beri amaran, ini respon TMJ


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa tiada sesiapa di negara ini yang berada di atas undang-undang termasuk Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, lapor MalaysiaKini. 

Mahathir berkata, Tunku Ismail bebas menyuarakan pandangannya seperti rakyat Malaysia asalkan tidak membuat kenyataan yang dianggap hasutan. 

"Dia boleh cakap seperti orang biasa, kita anggap dia orang biasa. Asalkan dia tidak buat kenyataan yang dianggap hasutan," katanya ketika menjawab soalan media di lobi Parlimen petang tadi. 

Mahathir juga berkata, pewaris Sultan Johor itu tidak akan terlepas daripada undang-undang jika melanggar peraturan. 

"Kita akan mengambil tindakan terhadapnya, beliau tidak kebal undang-undang malah tiada siapa di Malaysia yang kebal undang-undang," katanya. 

Ditanya berhubung nasihatnya kepada Tunku Ismail sebelum ini supaya menyertai gelanggang politik, Mahathir berkata, beliau boleh membuat pilihan sendiri. 

"Jika dia mahu terlibat dalam politik, dia boleh. Tidak ada apa yang boleh menghalang mana-mana warganegara Malaysia, tidak lebih daripada itu," katanya. 

Jumaat lalu, Perdana Menteri mengumumkan Malaysia menarik diri daripada menyertai Statut Rom berikutan timbul kekeliruan dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat yang didakwanya berpunca daripada kekeliruan yang dicipta oleh orang tertentu yang ingin bebas memukul orang dan melakukan perkara seperti itu. 

Tunku Ismail bertikam lidah dengan Mahathir berhubung keputusan kerajaan sebelum ini yang meratifikasikan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang menurut putera raja itu akan mengancam kedudukan Yang di-Pertuan Agong, Melayu dan Islam. 

"Jika dia pukul orang lagi, saya akan hantar polis untuk menangkapnya. Saya tidak peduli siapa dia," katanya. 

Meskipun tidak menyebut sebarang nama, spekulasi mendakwa Mahathir merujuk kepada kerabat istana Johor. 

Sementara itu, Tunku Ismail dalam kemaskini Twitternya mempersilakan Perdana Menteri mengambil tindakan terhadapnya selepas dia mengkritik usaha kerajaan untuk meratifikasikan Statut Rom. 

"Sila. If I have to go down kerana mempertegakkan Perlembagaan/Constitution, Raja-Raja Melayu dan Islam. By all means. 

"You know where to find me. Macam rakyat biasa, saya berhak tanya soalan dan beri pendapat. I'm all yours. Finish what you start," katanya. 



Loading...