(Video) Melambung dirempuh Myvi ketika melintas jalan


Seorang wanita berusia 22 tahun cedera parah dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan. 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 7:45 pagi di Jalan Tun Abd Razak, Kota Kinabalu, mangsa yang sedang melintas jalan tidak menyedari kehadiran kereta tersebut yang bergerak laju di lorong kanan. 

Mangsa dirempuh dengan kuat sehingga melambung dan terhempas di belakang sebuah kereta sebelum terjatuh ke jalan raya. 

Mangsa yang mengalami kecederaan parah itu kemudian dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati, pemandu wanita berusia 29 tahun itu dalam perjalanan menuju ke pusat bandar raya dari Petagas. 

Namun ketika melalui jalan itu, mangsa tiba-tiba muncul dari sebelah kiri dan tidak sempat menekan brek lalu menyebabkan kemalangan itu berlaku. 

"Mangsa parah di bahagian badan, kaki serta tangan. Tetapi dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I," katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dalam keadaan melulu sehingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan. 

Video rakaman dashcam kejadian itu juga viral di media sosial mengundang pelbagai reaksi netizen.


Loading...