Wanita ini ajar cara mudah buat 'pepper spray' DIY guna cili


Sebagai langkah keselamatan diri, golongan wanita tanpa mengira usia adalah digalakkan memiliki sebotol penyembur lada atau pepper spray bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. 

Umum tahu pentingnya alat pelindungan ini, tetapi dek harganya yang agak mahal menyebabkan ada yang tidak berkemampuan. 

Seorang netizen dari Filipina mempunyai idea kreatif untuk menghasilkan penyembur pedas nak mati buatan sendiri yang juga boleh dibuat oleh kita semua. 

Marry Ferjel Babasa berkongsi cara untuk membuat penyembur tersebut melalui Facebooknya dan nampaknya ramai yang berminat dengan caranya itu serta postnya itu mendapat lebih dari 87,000 shares! 

"Girls!! Oleh kerana di luar sana banyak sangat orang jahat, saya akan kongsikan alat pelindungan buatan saya sendiri. Ianya mudah dibuat dan mampu untuk dimiliki," katanya. 

Bahan-bahannya mudah sahaja iaitu 3 ulas cili dan botol kecil yang mempunyai fungsi untuk menyembur.



Caranya, gunakan sarung tangan terlebih dahulu bagi mengelakkan jari jemari anda mengalami kepedasan. Potong cili pada saiz kecil seperti dalam gambar. Kemudian disumbatkan dalam botol. 



Selepas itu, isikan air dan tinggalkan sedikit ruang udara di dalamnya. Goncang lama-lama sampai tahun depan pun tak apa. Untuk lebih mujarab, tekan cili yang telah dipotong itu dengan lidi agar jusnya merecik keluar dan bercampur dengan air itu.

Setelah itu, tutup penutupnya dan simpan di tempat yang selamat. Jangan disalahgunakan pula untuk disembur pada adik, anak saudara, kucing, makcik bawang dan lain-lain. 


Siap dan anda kini memiliki alat pelindungan yang boleh ditop up cilinya pada bila-bila masa. 

Jangan lupa cuci tangan, nanti tersentuh pula mata menjerit sakan nikmat kepedihan yang tak terkata. 

Untuk menguji keberkesanannya pula, jangan disembur pada mata sendiri. Bahaya! Sebaiknya sembur pada sekeping kertas dan hidulah aroma kepedasannya itu. Jika baunya menyengat dan membuatkan anda mengalir air mata, itu tandanya penyembur tersebut boleh digunakan. Jika sebaliknya, sedutlah sebanyak mungkin sehingga terasa kepedasannya. 

Akhir sekali, jangan pula dikorek cilinya untuk dibubuh dalam mi atau nasi ketika anda menikmati makan tengah hari di kedai/restoran.



Difahamkan, Marry sudah lama membuat pepper spraynya sendiri sejak 2016 berikutan peningkatan kes jenayah di tempatnya dan menukar kandungan botol itu setiap enam bulan sekali.

Bagaimanapun, belum ada individu yang pernah menjadi mangsanya tetapi Marry mendakwa ia amat berkesan untuk membantu golongan wanita melindungi diri mereka. 
Loading...