'Dia bukan saja sahabat karib sejak lebih 3 dekad, dia juga sebahagian dari keluarga' - Yusof Haslam tanggung kos rawatan A Galak


Dulu dan kini drama bersiri kepolisan, Gerak Khas terbitan Skop Production sentiasa menambah hati penonton dengan jalan cerita dan pelakon-pelakon yang menjayakan watak. Sarjan Hisham atau lebih dikenali dengan Sarjan Misai yang dilakonkan oleh A Galak antara watak yang diingati penonton.

Terbaharu, A Galak dikatakan berdepan serangan angin ahmar kerana tidak mengambil ubat mengikut jadual. Beliau dikejarkan ke sebuah klinik oleh rakan sekerja di Skop Production Sdn Bhd sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Atas dasar persahabatan selama tiga dekad dan dianggap seperti sebahagian daripada keluarga Skop Productions, penerbit dan juga pemilik syarikat produksi Skop Productions, Datuk Yusof Haslam memaklumkan pihaknya akan membiayai kos rawatan A Galak. 

Ketika ditanya mengenai perkembangan A Galak, Yusof Haslam berkata, A Galak sudah menunjukkan perkembangan positif, namun masih dalam pemantauan rapi doktor.

“Alhamdulillah, dia sudah mula menunjukkan perubahan, berbanding beberapa hari lalu. Begitupun, serangan angin ahmar itu menyebabkan pertuturannya kurang jelas.

“Doktor memaklumkan, mungkin tempoh penyembuhannya memerlukan masa yang panjang, namun saya yakin semangatnya kuat untuk cepat sembuh.

“Doktor juga melakukan pemantauan berterusan untuk melihat perkembangan kesihatannya. Sama-sama kita doakan supaya dia kembali sembuh,” katanya.

A Galak yang dilahirkan di Johor dan dibesarkan di Singapura mula terbabit dalam dunia lakonan sejak era 1960-an selepas kerap mengikut ibunya, Rokiah Jaafar bekerja di Studio Jalan Ampas.

Bapa kepada lima anak itu seterusnya melangkah ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib sebagai anak seni sekitar 1980-an dan diterima Datuk Aziz Satar sebagai penjaga konti, sebelum ditawarkan peluang berlakon.

Sumber: Berita Harian