'Kami tiada persefahaman, suami selalu curang,' kata Bella, Aliff menangis sepanjang prosiding


Penyanyi dan pelakon Aliff Aziz sah bercerai talak satu dengan isterinya Bella Astillah di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini di hadapan Hakim Syarie, Izzat Syazli Murshid pada jam 3.55 petang tadi. 

Permohonan cerai dibuat oleh Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 25 selaku plaintif mengikut Seksyen 47 Akta Undang-unang Keluarga Islam 1984.

Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 28, dilihat menangis sepanjang prosiding berlangsung.

Ditanya punca perceraian itu oleh hakim, Bella menjawab, mereka sudah tidak bersefahaman dan sudah tidak tinggal sebumbung sejak tiga bulan lalu.

"Kami tidak ada persefahaman dan suami selalu curang," jawab Bella dengan suara tersekat-sekat. 

Sehubungan itu mahkamah memerintahkan Bella beredah sebanyak tiga kali suci dan mahkamah memerintahkan sijil nikah mereka dibatalkan.

Aliff turut bersetuju untuk membayar nafkah anak sebanyak RM1,000 sebulan yang akan dimasukkan ke akaun Bella bermula Mei 2019.

Sementara itu di Instagram, Bella meluahkan kata-kata berikut:

"Alhamdulillah semua di permudahkan tadi. Mungkin sampai sini sahaja jodoh saya dan Aliff. Semoga selepas ini saya dapat menjadi ibu yang baik buat Ayden. 

"Dan terima kasih yang tak putus-putus mendoakan saya dan keluarga. Apa yang terjadi adalah takdir Allah s.w.t dan Bella redha. Allah s.w.t knows best." katanya.