Lelaki dipenjara 365 hari kerana tampar isteri yang menghalangnya pukul anak


Mahkamah Majistret Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara satu tahun terhadap seorang lelaki kerana menampar isterinya yang mempersoalkan tindakan suaminya memukul anaknya.

Sebelum kejadian itu, mangsa sedang mandi terdengar suara tangisan anaknya sebelum ternampak suaminya memukul anaknya hasil dari perkahwinannya sebelum ini.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Hafiz Mohamad, 25, dari Marang mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan. 

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Hafiz didakwa sengaja mencederakan isterinya, Nur Aina Diana Mat Yaman, 32, di kediaman mereka di Kampung Alor Atas Tol, jam 9 malam, 17 April 2019. 

Sementara itu pada pertuduhan kedua di Mahkamah Majistret berasingan, Mohd Hafiz mengaku bersalah  terhadap pertuduhan memukul anak tirinya berusia lapan tahun sehingga menyebabkan kecederaan di lokasi, masa dan tarikh sama. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326 (A) kanun yang sama, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali. 

Majistret Noor Mazrinie Mahmood menetapkan 13 Mei depan untuk sebutan semula kes. Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Sumber: Berita Harian