Lelaki tembak monyet kerana tak sebut 'Baby Sayang' akhirnya ditahan polis


Susulan kes lelaki menembak mati seekor monyet kerana tidak menyebut 'Baby Sayang' beberapa hari lalu yang viral di media sosial, polis telah menahan dua beranak di kediaman mereka di Taman Kenangan, Sitiawan, Perak, malam tadi. 

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman Datuk Asmawati Ahmad berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung telah membuat serbuan di rumah dua beranak itu pada jam 9 malam tadi. 

"Dalam serbuan itu kami menahan dua lelaki iaitu anak beranak selain merampas pistol yang dipercayai digunakan dalam kes berkenaan. 

"Kedua-dua tangkapan terbabit dibawa ke IPD Manjung untuk tindakan lanjut," katanya memetik laporan dari Harian Metro, Khamis. 

Difahamkan, polis menerima satu laporan mengenai kejadian itu pada jam 1.21 pagi semalam sebelum menahan dua beranak terbabit. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana menggunakan senjata api di tempat yang tidak dibenarkan dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan membunuh atau mencacatkan haiwan. 

LAPORAN BERKAITAN: