Pengasuh paksa budak makan bubur dicampur 50 gram garam sehingga mati


Seorang pengasuh yang meracun kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dengan garam, dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun. 

Ibu kepada dua orang anak, Yana Deinesh, 25, didakwa meletakkan sejumlah besar garam ke dalam bubur nasi dan memaksa mangsa makan makanan beracun itu. 

Kejadian itu berlaku di sebuah perkampungan di Kholmogory, utara barat Rusia. 

Difahamkan, mangsa meragam ketika waktu makan tengah hari menyebabkan Yana bengang lalu mengambil keputusan untuk menghukumnya. 

Yana mengambil sepaket garam dan menabur separuh isi kandungannya dan digaul dengan bubur nasi sebelum memaksa mangsa memakan bubur itu. 

Tidak beberapa lama kemudian, mangsa jatuh sakit dan tidak sedarkan diri lalu dikejarkan ke hospital serta keadaannya dilaporkan kritikal. 

Doktor cuba sedaya upaya menyelamatkan mangsa, malangnya kanak-kanak itu tidak sempat diselamatkan dan meninggal dunia. 

Siasatan mendapati, mangsa dipaksa makan kira-kira 50 gram garam dan dos itu melebihi 60 kali ganda dari amaun yang boleh diterima badan mangsa, menyebabkan mangsa meninggal dunia. 

Yana ditahan dan mengaku menganiaya mangsa tetapi menegaskan dia tidak berniat membunuh mangsa. 

Pendakwaraya Vadim Kuchin berkata, "Orang dewasa pun tak mampu makan garam sebanyak itu. Mangsa dipaksa makan bubur beracun itu sehingga mati. 

"Kes ini jelas adalah kes bunuh dan mahkamah juga bersetuju dengan kami," katanya. 

Mahkamah mendakwa Yana Deinesh telah membunuh mangsa dan menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun. 

Sumber: Daily Mail