'RTM kepala bapak dia punya kah?' - Menteri bengang RTM tak tayang wajah ketua menteri dan menteri Sarawak


Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Suka Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah mengkritik stesen penyiar rasmi kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang tidak menayangkan wajah ketua menteri dan menteri-menteri negeri Sarawak ketika membuat liputan program-program kerajaan negeri.

Menurutnya, ketua menteri dan para menteri Sarawak mengadakan pelbagai sidang media mengenai pelbagai program, malangnya RTM gagal memberi liputan sewajarnya.

"Sidang-sidang media ini bukan untuk ajak orang sokong Gabungan Parti Sarawak (GPS). Ia mengenai program-program yang sedang diusahakan. Kenapa? RTM kepala bapak dia punya kah?" katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri Sarawak, semalam.

"Setakat ini saya tak nampak wajah ketua menteri atau mana-mana menteri lain disiarkan. Jika anda boleh tayangkan wajah ADUN Pujut, Ting Tiong Choon setiap hari, kenapa anda tak boleh melakukan perkara yang sama untuk ketua menteri?

"Apa yang saya katakan ini bukanlah tidak berasas. Saya perhatikan mereka, rakyat Sarawak juga memerhatikan mereka. Kita bukannya bodoh. Kalau program-program itu dihadiri ketua menteri, anda pasti tidak akan nampak wajahnya keesokan hari.

"Apa yang anda cuba tunjukkan ini? Ini bermakna anda bermain politik. Ia seperti melepaskan batuk di tangga," katanya yang menjawab penafian RTM terhadap dakwaan tidak memberikan liputan secukupnya ke atas aktiviti kerajaan negeri.

RTM semalam berkata, pihaknya akan berusaha sebaik mungkin untuk membuat liputan semua aktiviti di negeri itu dan dalam tempoh 4 bulan pertama tahun ini, RTM sudah membuat 181 liputan aktiviti yang melibatkan ketua menteri, menteri-menteri negeri dan kerajaan negeri.

Karim juga mendakwa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mempergunakan RTM sebagai alat politik.

"Jangan anggap Sarawak bukan sebahagian daripada Malaysia. Rakyat Sarawak masih menyanyikan lagu Negaraku dan Kerajaan Sarawak sekarang dipilih secara sah oleh rakyat di negeri ini.

"Gaji kakitangan RTM adalah daripada cukai-cukai dikutip dari semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kami juga menyumbang kepada gaji-gaji kakitangan itu dna juga gaji menteri yang memimpin RTM. Jadi janganlah berkelakuan seperti itu," katanya.