'Suami jatuh tergelincir ketika dukung anak, hidungnya tertusuk pada bentuk tajam di permukaan tiang'


Malang tak berbau, seorang kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan parah dan pendarahan yang serius akibat terhentak di tangga selepas terjatuh sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. 

Kejadian itu berlaku ketika si bapa sedang menuruni tangga sambil mendukung mangsa di mana si bapa tergelincir. Meskipun mangsa sudah diberikan rawatan, ibunya, DamianaJun menasihatkan ibu bapa di luar sana lebih berhati-hati apabila mendukung anak. 

DUKUNG anak. Hati-hatilah kalau kita nak dukung anak. Malang tak pernah berbau. 

Hari ini baru ada kekuatan nak throwback kisah Afif baru-baru ini. Ramai yang tanya macam mana Afif boleh terjatuh sampai muka cedera teruk. Ada yang ingat Afif jatuh sebab buas sangat. 

Tetapi sebenarnya tidak. Afif tak buas pun, bahkan baru saja bangun tidur pada masa itu. Yang jatuhnya Abi Afif. Abi Afif yang tergelincir sewaktu nak turun tangga semasa dukung Afif. 

Posisi muka Afif ketika itu atas bahu Abi menghadap ke belakang. Jadi bila Abi Afif jatuh terlentang, muka Afif yang menghadap ke belakang terus tersembang pada tiang sebelah tangga dan bucu tangga.

Bentuk tajam yang ada di permukaan tiang tertusuk tepat pada bahagian tulang hidung Afif dan menyebabkan luka berlubang yang agak dalam, kira-kira setengah inci. 


Kejadian berlaku pada jam 5.40 petang. Terus bergegas bawa Afif ke Hospital Kuala Berang. Dua kali juga Afif muntah selepas terjatuh. Darah tak berhenti lagi pada masa itu. 

Doktor buat x-ray dan assessment. Memandangkan kecederaan Afif agak parah juga, doktor terpaksa refer ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut. 

Dalam jam 8 malam, Afif dipindahkan ke HSNZ dengan menaiki ambulans. Sampai di hospital, Afif jumpa doktor pakar mata dan hidung. Mata Afif diperiksa sebab takut ada kecederaan saraf akibat dari hentakan kuat. Banyak kali doktor periksa, Alhamdulillah tiada masalah. 

Selepas itu periksa hidung pula. Doktor beritahu ada alignment hidung Afif lari sikit dari kedudukan asal. Kemungkinan kena buat pembedahan kecil untuk betulkan semula. Jadi, doktor minta Afif berpuasa.


Keesokan hari pada waktu tengah hari, Afif terus masuk ke Dewan Pembedahan. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Luka pun telah dijahit dengan baik. Sekarang tunggu masa untuk sembuh sahaja. InsyaAllah. Doakan Afif. 




Sekadar peringatan bersama. Jangan sangka kemalangan tidak boleh berlaku di dalam rumah. Jangan sangka kemalangan tidak boleh berlaku bila kita sudah sedaya upaya mengawasi anak-anak kita. Jangan sangka kemalangan hanya berlaku disebabkan keaktifan anak semata-mata. 

Kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sekalipun. Sekarnag ini, kalau tengok suami dukung anak pun, kadang-kadang rasa seriau, seram sejuk dan trauma lagi. 

Sifat manusia itu lemah. Sungguh. Hanya pada Allah S.W.T tempat kita sebagai manusia bergantung harap dan berlindung. 

Sumber: DamianaJun