Suami tikam isteri & pasangannya (lesbian) selepas berang dengar 'Sayang baru pulang'


Gede Suartama, 29, berasal dari Banjar Pumahan, Indonesia, mencari isterinya, Ni Luh Yudiani, 24, berakhir dengan tragedi. 

Gede sebelum itu menemui isterinya yang tinggal di rumah rakannya, Ni Kadek Ciriadi, 37, di Banjar Tegehe dan kedua-dua mereka saling memanggil diri masing-masing dengan panggilan 'sayang'. 

Tidak dapat menerima hakikat bahawa isterinya adalah lesbian, Gede terus menikam pasangan isterinya itu sebelum menyerang isterinya sendiri. 

Kedua-dua mangsa disahkan berada dalam keadaan kritikal dan sedang diberikan rawatan di hospital. 

Difahamkan, kes itu bermula dari saat si isteri keluar dari rumah meninggalkan suami dan anak-anaknya sejak 75 hari lalu. 

Ketika itu, Gede dapat merasakan bahawa isterinya tinggal bersama dengan Ciriadi kerana dia dan keluarga mengetahui dua wanita itu menjalinkan hubungan sejenis. 

Namun, ketika Gede menelefon isterinya, Yudiani berkata dia berada di kampungnya di Karangasem. 

Pada 8 Mei 2019, Gede ternampak pasangan isterinya, Ciriadi, yang sedang berniaga di pasar, lalu dia mengekorinya ke rumah. Ketika melakukan intipan, Gede terkejut mendengar suara isterinya yang berkata, "Sayang baru pulang?" pada Ciriadi. 

Mendengar kata-kata itu, Gede menjadi geram lalu menendang pintu rumah mereka. Setelah dibuka oleh Ciriadi, Gede terus menikamnya menggunakan pisau beberapa kali sehingga mangsa rebah.  

Yudiani cuba menghalang, namun tidak terkecuali dari menjadi mangsa amukan suaminya sendiri, yang akhirnya rebah juga dengan kesan luka yang serius di bahagian muka. 

Penduduk sekitar yang menyedari kejadian itu terus datang ke lokasi kejadian. Gede yang enggan mencari masalah dengan penduduk di situ terus menyerah diri dan meminta untuk dibawa ke balai polis. 

Sementara itu, pihak polis masih menjalankan siasatan dan setakat ini motif kejadian dipercayai berpunca dari mangsa yang menjalinkan hubungan sejenis. 

Polis masih menunggu kedua-dua mangsa berada dalam keadaan stabil untuk mendapatkan keterangan mereka mengenai kejadian itu.

Sumber: Tribun News