'Tak pernah saya merasai Ramadhan sesempit ini'


Ketika kita sedang menikmati hidangan yang enak di bulan Ramadhan, mereka menanggung derita. Ketika anak-anak kecil kita sedang gembira menyambut Ramadhan, bermain bunga api dan mercun, anak-anak mereka menangis kesakitan dan kehilangan insan tersayang kerana kekejaman Israel mengebom kediaman. Gaza, sahur di dunia, berbuka di akhirat.

Kekejaman zionis membuatkan mereka hilang segalanya. Seperti yang dikongsikan oleh sukarelawan ini, penduduk Gaza amat memerlukan bantuan dan sumbangan bagi meringankan beban mereka. Walau hanya meneguk seteguk minuman dan sesuap makanan, itu sudah membuat mereka mengerti dan tersenyum, mereka tidak keseorangan!

MONOLOG RAMADHAN DARI BUMI GAZA

Sejak 6 tahun berada di Gaza, tak pernah saya merasai Ramadhan sesempit ini. Cahaya Ramadhan seperti hilang, serinya sudah tidak ada.

Kalau beberapa tahun sebelum ini, setiap kali menjelang Ramadhan, seluruh bandar akan hidup dengan lampu yang dihias indah, anak-anak yang bermain di buaian ‘khas’ yang dipasang setiap kali bulan ini menjelang dan peniaga ‘qatayef’ dan minuman memenuhi jalanan mencari rezki. 

Sesekali anak muda membakar mercun, mengingatkan saya kepada kemeriahan bulan ini disambut di kampung-kampung kita di Malaysia. Tetapi tahun ini hambar.

Ramadhan dimulakan dengan letupan bom dan dentuman roket. Anak-anak takut untuk keluar meninggalkan rumah. Para peniaga malas membuka kedai kerana tahu penduduk tidak punya wang pun untuk membeli makanan bukan asasi seperti kuih dan air berwarna-warni.

Sebab itulah tarawih malam pertama di Masjid Amin Muhammad itu terasa cukup sayu. Seolah-olah aura munajat sang hamba yang takut, pasrah dan berharap, bergantungan di udara – kuatnya sampai hampir dapat dihidu.

Manakan tidak, setiap minit masjid bergegar dengan letupan roket pesawat F16 milik Zionis yang mensasarkan kawasan-kawasan berdekatan. 

Manakan tidak, masjid tempat kami menunaikan solat setiap kali perang akan menjadi sasaran wajib Zionis.

Manakan tidak, kami tidak perlu memaksa khusyuk seolah-olah ia pengabdian yang terakhir kepada Allah, kerana realiti ia benar-benar menjadi dua rakaat yang terakhir sangat dekat.

Tetapi pelik, masjid tetap penuh sehingga melimpah ke luar. Seakan-akan penduduk berkata, kalau malam ini malamku yang terakhir di bumi ribat, kalau malam ini nyawaku dicabut, baguslah di sini aku bersemadi di balik timbunan runtuhan masjid.

Esoknya saya keluar menziarahi tempat-tempat yang telah dibom semalam. Penduduk berkumpul, menepuk bahu satu sama lain, mengucapkan Alhamdulillah kerana engkau masih selamat. Tidak ada senyuman, tidak ada gelak ketawa.

Bagaimana hendak tersenyum apabila puluhan keluarga terbuang ke jalan raya setelah kehilangan tempat tinggal? Bagaimana hendak ketawa dan berjenaka apabila ada peniaga yang harta mereka bernilai jutaan dollar dimusnahkan setiap masa?

Hei Zionis celaka!

Kau tahukah keluarga-keluarga ini mengumpul duit berpuluh tahun supaya dapat membeli rumah tempat melindungi anak-anak dan keluarga? Kau tahukah bergenerasi para peniaga ini membanting-tulang untuk mampu hidup senang?

Tahukah kalian, ada peniaga yang baru sahaja siap menyusun pakaian bernilai 70 ribu dollar untuk dijual mendekati Hari Raya, tetapi tak lama selepas beliau meninggalkan kedai setelah sehari bekerja, ia dibom dan segala penat-lelahnya menjadi abu berterbangan dalam sekelip mata!

Sebab itu sumbangan kalian penting. Ia bukan semata isu memberi makan, bukan juga isu menyarung pakaian. Ia isu memberikan HARAPAN dan KEKUATAN, tatkala seluruh dunia meninggalkan mereka keseorangan.

Setiap kali Lori Kebajikan kami sampai ke satu-satu kawasan, ia diserbu puluhan penduduk walaupun pek makanan yang kami bawa sangat terhad dan terbatas.

Setiap kali kami mengagih juadah berbuka puasa, anak-anak kecil ini akan tersenyum kegirangan kerana akhirnya akan dapat menikmati ayam setelah lama kempunan.

Demi Allah, baru semalam saya menziarahi sebuah keluarga yang memanaskan juadah yang sama sejak hari pertama untuk dibuat berbuka pada hari ketiga!

Demi Allah baru semalam saya menyampaikan bantuan sewa rumah kepada keluarga dan ahli keluarga menangis teresak-esak kerana masih ada yang punya belas kasihan di dalam jiwa!

Demi Allah, baru semalam saya bertemu pasangan suami isteri yang setiap hari bergaduh dan bertelagah kerana tidak ada makanan untuk disuap ke mulut anak yang diuji kecacatan dan kanser!

Kegilaan apakah ini? Dunia apakah yang sedang kita diami?

Lihatlah ke meja makan kalian di waktu berbuka yang penuh dengan 1001 juadah berbeza! Tidakkah kita berdosa apabila ada umat yang lemah tidak berdaya untuk bangun beribadah sedang kita lemah melangkah ke tarawih kerana kekenyangan?

Kezaliman apakah ini, apabila ramainya umat Islam yang ada, tetapi masih ada yang terpaksa tidur dalam keadaan lapar dan dahaga! Saudaraku yang dikasihi, kami akan terus mengorak langkah dengan gagah. 

Biarpun kami terpaksa membeli pek makanan dengan berhutang dan membayarnya sedikit demi sedikit, kami akan terus melangkah. Biarpun kami terpaksa menjual harta yang tak seberapa demi membelikan anak kecil miskin susu dan lampin, kami akan terus melangkah. Biarpun kami terpaksa menyuap makanan ke mulut anak kecil, di waktu perut sendiri berkeroncong, kami akan terus melangkah.

Allah menyaksikan bagaimana kami melaksanakan projek untuk penduduk sejak awal pagi sehinggalah sejam atau setengah jam sebelum berbuka, balik berjumpa keluarga dalam keadaan lemah-longlai dan tidak bermaya.

Dan kalau kalian, punya rasa belas kasihan yang sama, kami merayu supaya kalian bergerak bersama-sama. Sebahagian harta kita adalah hak umat yang mahu kenyang. Sebahagian doa kita adalah hak umat yang mahu senang.

Untuk kami di Persatuan Cinta Gaza Malaysia, kami mensasarkan kutipan sumbangan Ramadhan sebanyak RM2 juta.

Ia nampak besar, tetapi janji saya, setelah Ramadhan tidak akan ada yang berbaki di dalam akaun bank NGO, melainkan yang akan digunakan untuk projek jangka panjang peluang pekerjaan dan biasiswa pendidikan. Malah, kalian akan tahu setiap sen ke mana akan digunakan.

Kami hanya laluan untuk kalian menyuap makan ke mulut anak Palestin yang memerlukan, kami hanya jambatan untuk kalian pijak agar sampai ke syurga idaman.

Salurkan sambungan kalian ke akaun rasmi Persatuan Cinta Gaza Malaysia,

Maybank 5648 1050 7826
Maybank 5648 1050 7826
Maybank 5648 1050 7826

Dan biarkan airmata menitis, agar ia menjadi saksi hati yang masih belum mati di bulan peduli ummah ini. Pohon dikongsikan seluasnya.

Nadir Al-Nuri,
Gaza,
4 Ramadhan

Sumber: Nadir Al-Nuri