'Tolonglah Tun saya merayu, dia bukan nak lari mana' - Anak rayu pasport bapanya dikembalikan


Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi gagal mendapatkan semula pasportnya yang ditahan bagi melaksanakan umrah selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu kerada keseriusan beberapa pertuduhan yang dihadapi oleh Ahmad Zahid. 

Selain itu juga, mahkamah mendapati bahawa ibadah umrah adalah tidak wajib ke atas seseorang Muslim. 

Terdahulu, Zahid memohon pasportnya yang berada dalam simpanan mahkamah, dipulangkan semula agar dia dapat mengerjakan umrah pada Januari lalu tetapi menarik balik permohonan itu. 

Zahid menghadapi 47 pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan rasuah. 

Sebelum itu, peguamnya, Hisyam Teh Poh Teik berkata, anak guamnya perlu pergi ke Arab Saudi antara 9 Mei dan 3 Jun ini untuk mengerjakan umrah dan anak guamanya tidak mempunyai niat lain kerana beliau adalah seorang anggota parlimen dan keluarganya tinggal di negara ini. 

Seorang lagi peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal berkata anak guamnya tidak pernah gagal untuk mengerjakan umrah sejak 30 tahun lepas terutamanya dalam bulan ramadan. 

Sementara itu, anaknya, Nurul Zahid, melalui Instagramnya merayu agar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir membenarkan bapanya menunaikan umrah.

"Tolong benarkan abah saya ke Mekkah untuk menunaikan umrah pada 10 terakhir Ramadan @chedetofficial. 
"Siapa yang terbaca status ini dan tahu bagaimana untuk berhubung dengan YAB Tun, sila DM saya dan jika ada sahabat yang mengenali saya dan keluarga secara rapat suatu ketika dahulu yang kena akan persahabatan ini, mohon bantu panjangkan kepada pihak Tun," tulisnya.