Bintang YouTube yang punyai lebih 10,000 subscribers boleh masuk universiti


Universiti Pembangunan Nasional Veteran Jakarta (UPNVJ) menjadi bualan netizen selepas pihaknya mengumumkan mana-mana bintang YouTube yang mempunyai sekurang-kurangnya 10,000 subscribers boleh masuk ke UPNVJ melalui skim kemasukan istimewa. 

Akaun Instagram @infomasukptn yang diwujudkan bagi berkongsi maklumat pentadbiran kepada para pelajarnya, Rabu lalu memuat naik mengenai program tersebut.

Rektor UPNVJ Erna Hernawati, mengesahkan mengenai posting tersebut yang kini mendapat lebih 26,000 likes di Instagram. 

"YouTube adalah media terbaik untuk menyampaikan pesanan positif kepada masyarakat. Kami mahu mereka yang diterima masuk ke universiti ini boleh menyampaikan mesej positif dan mempengaruhi masyarakat untuk menjadi lebih baik," katanya. 

Walaubagaimanapun, mana-mana bintang YouTube yang mahu memohon skim tersebut akan ditapis bagi memastikan saluran YouTube mereka hanya menyiarkan kandungan positif. 

"Kita tidak akan menerima mereka yang memuat naik kandungan provokatif. Kita juga akan menguji kemahiran pemohon dengan mewajibkan mereka membuat video berdurasi 2-3 minit di kampus. 

"Jadi, jika anda mempunyai 10,000 subscribers pun, tidak bermaksud permohonan anda akan diterima secara automatik," katanya. 
Sumber: Asia One