"Alhamdulillah!", syukur kepada Allah, adik Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor telah selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya hari ini.
Perkara itu disahkan oleh ibunya, Nurul Erwani Zaidi, 24, menerusi Instagram hari ini.
"Alhamdulillah semua dipermudahkan. Ainul Stabil. Cepat sihat ya Ainul, nanti kita boleh balik Malaysia jumpa kawan-kawan.
"Pertolongan Allah sentiasa ada, teruskan pergantungan pada Allah Ainul, anak mama paling kuat," katanya.
Dalam pada itu, Nurul turut berterima kasih kepada kumpulan doktor pakar yang berusaha merawat anak perempuannya itu.
Sementara itu, Dr. Amalina Che Bakri yang turut terlibat dalam pembedahan selama lima jam itu berkata, dia sendiri berasa gementar sebelum memulakan pembedahan itu.
Mengakui pembedahan itu sangat berisiko, namun beliau bersyukur pembedahan itu berjaya kerana berkat doa dari seluruh rakyat Malaysia.
"Alhamdulillah, Ainul, awak seorang bayi perempuan yang kuat! Selepas lima jam bertarung di dewan pembedahan, tumor seberat 200 gram itu berjaya dibuang.
"Apabila saya keluar dari dewan bedah dan ternampak ibu bapa Ainul, saya tak dapat mengawal emosi saya yang bercampur aduk. Ainul, Wani dan Safi juga seperti keluarga saya sendiri. Doakan untuk kesembuhan Ainul. Terima kasih di atas semua doa anda," katanya.