(Video) Budak dipukul, ditampar & dijerut ketika ditukarkan pampers


Viral di media sosial ketika ini video seorang wanita memukul dan menampar kanak-kanak tanpa belas kasihan.

Dalam klip video berdurasi 1 minit 35 saat itu menunjukkan wanita itu menghempas mangsa ke atas tilam sebelum memukul pahanya beberapa kali ketika mahu memakaikan lampin pakai buang padanya. 

Muka mangsa yang berusia lingkungan dua tahun itu juga ditampar dan dadanya ditekan dengan kuat oleh wanita yang berkemungkinan ibu atau pengasuhnya yang melepaskan geram. 

Mangsa yang tidak berdaya melawan hanya mampu menangis menahan kesakitan, namun wanita itu tidak sedikit pun berasa kasihan dengan mangsa. 

Wanita itu cuba membuka baju mangsa tetapi anak kecil itu tidak memberi kerjasama lalu menyebabkan dia dipukul dengan kuat di belakang badan.

Tidak cukup dengan itu, dia cuba membuka pakaian mangsa secara paksa dan mengoncangnya sekuat hati sehingga membuatkan anak kecil itu terjerut seketika yang kemudian dihempas ke atas tilam. 


Sementara itu, polis meminta orang ramai mengesan wanita terbabit dan menghubungi mana-mana balai polis berdekatan sekiranya mempunyai maklumat berhubung kes dera itu.