Bomba padam rumah terbakar, temui mayat pasangan suami isteri dengan kesan tikaman


Mayat pasangan suami isteri ditemui mati sebelum rumah mereka di Taman Desa Melati, Nilai, dibakar pada jam 9.30 malam Rabu. 

Mayat lelaki dan wanita berusia 60-an itu ditemui di bahagian dapur dan bilik belakang oleh bomba yang menjalankan operasi memadamkan kebakaran, selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 9.23 malam. 

Salah satu mayat yang ditemui mempunyai kesan tikaman, dipercayai dibunuh dan kes itu kemudian dimaklumkan kepada polis untuk tindakan lanjut. 

"Sebaik tiba, anggota mendapati kebakaran berlaku di bahagian dapur. Anggota menemui mangsa lelaki di bahagian dapur dengan kesan darah di lantai sebelum mayat mangsa dibawa keluar. 

"Operasi diteruskan dan anggota menemui mangsa wanita di bahagian bilik belakang bersebelahan dapur. Kedua-dua mangsa tiada kesan terbakar kerana bomba sempat memadam kebakaran di rumah itu," kata Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Mohd Fauzi Abu Bakar. 



Punca kejadian masih dalam siasatan. 

Sumber: Harian Metro