Harimau ditemui merayau di kampung Dungun disahkan mati kerana virus Canine Distemper


Seekor harimau yang ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) selepas videonya merayau di Kampung Besul Lama, Bekut Besi, Dungun, viral di media sosial dilaporkan telah mati. 

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Perhilitan hari ini, harimau yang diberi nama Awang Besul itu sebelum ini ditemui mengalami kecederaan di bahagian kaki, keradangan mata dan berada dalam keadaan dehidrasi. 

"Pemantauan rapi di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak pada 20 hingga 23 Julai menunjukkan terdapat tanda-tanda klinikal neurologi iaitu tidak agresif, berpusing satu arah apabila berjalan, sawan dan tanda klinikal jangkitan saluran pernafasan iaitu nasal discaj. 

"Keputusan virologi diterima pada 22 Julai menunjukkan Awang Besul positif Virus Canine Distemper. 

"Setelah pelbagai usaha intensif untuk merawat dan menyelamatkan Awang Besul dijalankan, dukacita dimaklumkan pada 23 Julai lebih kurang jam 5.30 pagi, Awang Besul telah disahkan mati di NWRC oleh Doktor Veterinar Jabatan Perhilitan dan Post Mortem akan dijalankan secepat mungkin," kata kenyataan itu. 



Difahamkan, Canine Distemper adalah penyakit yang disebabkan oleh virus yang mudah menyerang haiwan domestik iaitu anjing atau lain-lain hidupan liar termasuk spesies harimau. Jika penyakit ini terkena pada harimau, ia akan menunjukkan tingkah laku tidak takut kepada manusia dan kebarangkalian harimau untuk sembuh adalah sangat tipis. 

"Pihak Jabatan tidak menolak kemungkinan Canine Distemper yang dihidapi oleh Awang Besul disebarkan oleh haiwan liar di sekitar kampung. 

"Bagi memastikan keselamatan penduduk di sekitar kampung , Perhilitan masih memantau kawasan tersebut dan memasang perangkap harimau," kata kenyataan itu. 

LAPORAN BERKAITAN