Muka ditikam bekas suami gila talak kerana enggan rujuk semula


Seorang wanita mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan tangan akibat ditikam oleh bekas suaminya. 

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian itu berlaku pada petang tadi di sebuah kedai makan di Pantai Air Tawar, Jertih di mana mangsa berusia 28 tahun yang sedang bekerja ditikam suspek menggunakan pemutar skru. 

"Suspek datang ke kedai itu untuk rujuk semula dengan mangsa, tetapi hasratnya itu ditolak dan suspek terus bertindak menikam mnagsa menggunakan pemutar skru di bahagian muka dan tangan mangsa," katanya. 

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian bawah mata kanan, luka di tangan kanan dan kiri selain di kening kiri. 

Mangsa dikejarkan ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan, sementara itu majikan mangsa membuat laporan polis pada jam 4.54 petang tadi. 

Bertindak di atas laporan itu, polis telah berjaya menahan suspek pada jam 5.20 petang di Jalan Cawat, Kuala Besut, Terengganu. Polis turut merampas pemutar skru, kunci motosikal dan sebuah motosikal jenis Yamaha. 

Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek negatif dan tiada sebarang rekod jenayah lampau ditemui berkaitan dengannya. 

Difahamkan, suspek dan mangsa berkahwin pada November 2014 dan dikurniakan seorang cahaya mata berusia empat tahun. Namun pasangan itu bercerai di Mahkamah Syariah Besut pada Julai 2017. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya. 

Sumber: Harian Metro