39 program pengajian digugurkan di 19 UA kerana sudah tidak relevan di pasaran kerja


Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) membuat keputusan menggugurkan 38 program akademik di 19 universiti awam (UA) selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk kebolehpasaran graduan. 

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata, ini bagi memastikan graduan dilahirkan mempunyai potensi untuk memenuhi permintaan semasa kerjaya yang ditawarkan di negara ini.

"Terpulang kepada universiti sama ada menambah jurusan atau menggugurkan program akademik ditawarkan," katanya ketika diminta mengulas mengenai keputusan JPT menggugurkan 38 program akademik yang kebanyakannya sains dan kejuruteraan peringkat sarjana muda dan sarjana kerana tidak relevan dengan keperluan semasa industri dan masa depan graduan.  

Difahamkan, keputusan itu juga dibuat kerana bidang pengajian pada peringkat sarjana dan sarjana muda terbabit tidak menjanjikan peluang pekerjaan terbaik kepada graduan, sejajar permintaan semasa industri. 

Daripada 19 UA, setiap universiti menggugurkan sekurang-kurangnya dua kursus pengajian dan beberapa lagi program akademik turut dalam pemerhatian, sama ada digugurkan atau distruktur semula selaras perubahan pasaran pekerjaan di Malaysia.


Bagaimanapun, Nie Ching berkata, kebajikan pensyarah dan kakitangan sokongan seperti pembantu makmal dan juruteknik juga perlu diambil kira sama ada ditempatkan di universiti lain atau kekal universiti asal.

"Saya percaya kerajaan mempunyai mekanisme berkesan untuk menjaga kebajikan pensyarah dan kaki tangan sokongan terbabit," katanya.

Sumber: Berita Harian