Dua maut akibat terkena tiang konkrit jatuh dari treler (11 gambar)


Dua lelaki maut, manakala dua lagi wanita cedera selepas kereta mereka terkena beberapa tiang konkrit yang terjatuh dari treler. 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 9 malam tadi di Kilometer 257 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Terowong Menora di Kuala Kangsar, beberapa tiang konkrit yang dibawa treler berkenaan jatuh ke atas jalan. 

Tiang konkrit itu turut terpelanting ke laluan bertentangan dan mengenai beberapa kenderaan di kedua-dua arah lebuh raya itu. 

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, dua lelaki maut dan dua wanita cedera dalam kejadian itu. 

"Dilaporkan terdapat beberapa kenderaan terbabit dalam kemalangan disebabkan pelanggaran dari arah belakang daripada tiang konkrit yang menghempap kereta pertama," katanya. 

Dua mangsa lelaki maut tersepit dalam kereta, manakala dua lagi mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. 











Susulan kejadian itu, pemandu treler berkenaan ditahan. Siasatan awal mendapati, treler itu membawa muatan 18 tiang konkrit menuju ke utara sebelum terbabit dalam kemalangan yang melibatkan tujuh buah kenderaan.

Antara kenderaan yang mengalami kerosakan akibat kemalangan itu adalah Honda City, Perodua Axia, Nissan Sylphy, Proton Iriz dan Mercedes.

Difahamkan, ketika sedang bergerak, treler itu dipercayai mengalami masalah brek tidak berfungsi mengakibatkannya hilang kawalan ketika menuruni bukit.

Pemandu treler cuba mengelak dari melanggar kenderaan di hadapan lalu mengubah haluan dari lorong kiri ke kanan, menyebabkan muatannya jatuh.

Dua tiang konkrit dipercayai jatuh di atas pembahagi jalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan satu daripadanya menghempap Honda City yang dinaiki empat individu yang sedang bergerak di lorong kanan arah bertentangan menyebabkan dua maut dan dua cedera parah.

Tiang itu kemudian bergolek lalu dilanggar Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 24 tahun dan treler Scania yang dipandu lelaki berusia 50 tahun dalam perjalanan menuju ke arah selatan. Mereka turut cedera dalam kejadian itu.

Tiang kedua pula dilanggar Nissan Sylphy di lorong tengah menghala ke utara sebelum tiang itu dipercayai pecah dua dan dilanggar Proton Iriz dan Mercedes dari arah sama. Namun tiada kecederaan dilaporkan.

12 tiang konkrit yang jatuh di lorong kanan laluan ke utara dan baki empat lagi masih berada di atas treler.

Mangsa yang maut adalah Leong Woei Ser, 34, dan penumpang belakang, Cheah Kim Seng, 60.

Ujian saringan air kencing terhadap pemandu treler sudah dibuat dan keputusannya adalah negatif. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Harian Metro, Info Roadblock JPJ/POLIS