'Orang Jepun jarang bercuti, sanggup kerja OT tetapi budaya ini memakan diri kerana...' - Sisi gelap budaya kerja Jepun


Negara yang terkenal dengan jolokan negara matahari terbit, iaitu Jepun sudah tidak asing lagi diperkatakan sebagai negara yang penuh dengan adab, budaya, kebersihan dan disiplin yang tinggi. Bukan itu sahaja, mereka juga mempunyai sikap yang rajin dan bersungguh-sungguh di dalam pekerjaan demi sesebuah organisasi.

Tetapi, melalui perkongsian pemuda ini, budaya kerja yang ditonjolkan oleh rakyat Jepun sebenarnya telah memakan diri mereka sendiri sehinggakan ada yang mengalami tekanan dan membunuh diri. Bagi mengelakkan kes seperti ini berlanjutan, Perdana Menteri Jepun telah mengambil beberapa inisiatif. 

SISI gelap budaya kerja di Jepun. Selama ini kita sering didedahkan dengan nilai kerajinan dan kesungguhan bekerja rakyat Jepun. Dan tidak dinafikan nilai-nilai ini perlu dicontohi. Tapi sampai satu tahap, budaya ini telah memakan diri rakyat Jepun sendiri.

Tun M sendiri menjadikan Jepun sebagai negara contoh dengan Dasar Pandang Ke Timurnya pada 80-an. Bagi rakyat Jepun, kerajinan ditentukan dengan tempoh waktu bekerja. Semakin lama bekerja semakin rajin seseorang itu.

Ditambah dengan semangat cintakan negara yang tinggi, rakyat Jepun melihat bekerja kuat mampu mengembalikan kekuatan ekonomi Jepun setelah musnah dalam Perang Dunia Kedua.

Untuk pengetahuan anda, orang Jepun sangat jarang mengambil cuti. Kerana sesiapa yang mengambil cuti akan dianggap pemalas sehinggakan rata-rata mereka akan rasa bersalah apabila mengambil cuti. Berdasarkan satu survey daripada Expedia.com, pekerja di sana hanya menghabiskan separuh sahaja daripada cuti tahunan mereka.

Selain itu, orang Jepun juga sanggup bekerja lebih masa tanpa dibayar. Tetapi mereka berbuat demikian bukan kerana sayangkan syarikat tetapi kerana tekanan persekitaran. Dianggarkan 1/4 daripada rakyat Jepun bekerja lebih 80 jam (80 jam ini OT sahaja, tidak termasuk waktu bekerja 8 jam sehari).

Namun, budaya kerja Jepun ini bukanlah indah semuanya. Sikap berkerja terlalu kuat telah menimbulkan satu fenomena yang dinamakan sebagai Karoshi. Karoshi bermaksud kematian di tempat kerja.

Isu karoshi ini bukanlah isu baharu, ia bermula sejak 60an dan 70an lagi. Tetapi kurang mendapat perhatian ketika itu kerana kematian dianggap sebagai norma pada zaman tersebut. Kebanyakan kematian berpunca daripada sakit jantung, strok dan bunuh diri.

Berdasarkan statistik rasmi dari Jan 2010 hingga Mac 2015, 368 telah membunuh diri yang berpunca daripada kes karoshi. Manakala statistik daripada Gallup mendedahkan 67% pekerja tidak berminat dengan pekerjaan mereka sekarang. Tetapi terus bekerja demi gaji.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe telah mengambil beberapa insiatif bagi menangani masalah ini.

Antaranya adalah inisiatif Premium Fridays yang diperkenalkan di Tokyo di mana majikan perlu membenarkan pekerjanya pulang seawal jam 3 petang.

Selain itu, kerajaan turut menggalakkan pekerja untuk mengambil cuti sebanyak 20 hari setahun. Tetapi 35% pekerja masih lagi enggan untuk mengambil cuti.

Di Toshima, mereka mengambil langkah dengan memastikan pejabat lampu ditutup pada jam 7 petang untuk memaksa pekerja pulang ke rumah.

Begitulah serba sedikit kisah di sebalik kerajinan rakyat di Jepun. Mana yang baik kita contohi, mana yang buruk dijadikan pengajaran.

Saya berpegang bahawa hidup ini perlu ada kesimbangannya. Kita hidup untuk bekerja seperti robot. Kita perlu ada masa untuk keluarga, untuk agama, dan untuk diri kita sendiri.

Anda buat kerja sampai sakit-sakit untuk syarikat, tapi adakah syarikat menyayangi anda? Berpada-padalah.

Saya lebih minat dengan insiatif negara-negara maju di mana mereka sangat mementingkan kesimbangan hidup dan kerja. Ada antaranya memperkenalkan inisiatif bekerja 4 hari yang mana hasilnya meningkatkan produktiviti pekerja.

Sumber: Mohd Kautharr