Dua murid sekolah cedera parah diserang anjing liar


Jumaat 15 November lalu, seorang murid Sekolah Agama Rakyat Haji Awaluddin, Telok Kemang, Port Dickson, cedera digigit sekumpulan anjing. 

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian itu berlaku pada jam 2.20 petang Jumaat. 

Mangsa yang berusia enam tahun itu diserang sekumpulan anjing liar yang menyebabkannya cedera di bahagian leher, tangan dan paha. 

Kejadian itu disedari oleh seorang guru yang kemudian memaklukan kejadian itu kepada pihak berkuasa. 


Mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil. 

Difahamkan anjing-anjing liar itu sering berada di kawasan sekolah sejak dua bulan lalu dan beberapa guru serta murid juga pernah dikejar haiwan itu. 


Sementara itu dalam kejadian berasingan di Ranau, seorang murid perempuan cedera parah selepas diserang seekor anjing ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah pada Jumaat lalu. 

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa yang merupakan murid Sekolah Lipasu dikatakan mengikuti beberapa murid lain untuk pulang ke rumah. 

Difahamkan mangsa sepatutnya dijemput oleh bapanya, namun pada hari kejadian bapanya dikatakan terlewat. 

Kira-kira 300 meter di luar kawasan sekolah, tiba-tiba muncul seekor anjing lalu mengejar sekumpulan murid berkenaan menyebabkan mereka berpatah balik ke dalam sekolah dan memaklumkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan.

Mangsa yang tidak sempat menyelamatkan diri diserang anjing itu. 

Pengawal keselamatan kemudian bergegas mendapatkan mangsa dan membawanya ke dalam kawasan sekolah sebelum dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah Likas untuk mendapatan rawatan. 

Sumber: Harian Metro