Isteri hidap kanser tembak suami kerana enggan mangsa bersama wanita lain selepas kematiannya, sebelum bunuh diri


Seorang wanita yang disahkan menghidap kanser, menembak suaminya sebelum membunuh diri kerana tidak mahu mangsa menjalinkan hubungan dengan wanita lain selepas kematiannya. 

Pilaiwan Kimaphan, 38, disahkan menghidap kanser pada hujung bulan lalu di Chachoengsao, Thailand. 

Pilaiwan ditemui mati di tepi katilnya bersama dengan suaminya, Montree, 43, dengan kesan tembakan, Jumaat lalu. 

Jiran yang terdengar bunyi tembakan itu terus menghubungi polis yang kemudian datang ke lokasi kejadian dan menemui Montree dengan kesan tembakan di dahi, tetapi masih bernafas. 

Mangsa dikejarkan ke hospital dan kini bergantung dengan mesin sokongan hayat. 


Menurut jiran, Pilaiwan bimbang jika suaminya yang juga ahli majlis tempatan yang popular itu akan meninggalkannya untuk bersama dengan wanita lain selepas dia meninggal dunia. 

"Montree sangat disenangi dan pernah menjadi ketua kampung ini. Dia sangat menyayangi keluarganya dan menjaga isterinya. 

"Apabila disahkan menghidap kanser, kesihatan Pilaiwan menjadi semakin merosot dan badannya mengurus. Rutin hariannya terjejas dan bimbang jika Montree mencari wanita lain sebagai pengganti kerana Montree masih kacak dan ramai kenalan," kata jiran. 

Anak sulung pasangan itu berkata, dia terkejut dengan apa yang berlaku. Sebelum kejadian itu, ibunya ada mengirimkan mesej mengatakan, "Kami minta maaf untuk apa yang berlaku tetapi mak dan ayah dah tak dapat bertahan lagi. Mak dah letih. Maafkan mak.".

"Baru-baru ini juga, ibu kerap beritahu saya dan adik agar saling menjaga sesama diri," kata anak sulung. 


Sementara itu, polis percaya suspek berbuat demikian kerana tidak lagi tahan menanggung penderitaan dengan menembak suaminya dulu sebelum menembak dirinya. 

Polis akan mengambil keterangan dari mangsa selepas Montree sedarkan diri untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian. 

Sumber: Daily Mail