Kerajaan setuju beri pelepasan duti import & SST bagi Car Seat, tiada saman dikenakan pada tempoh 6 bulan pertama


Bagi menggalakkan ibu bapa memasang kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam kenderaan masing-masing sebelum peraturan mewajibkan penggunaannya bermula 1 Januari 2020, kerajaan bersetuju untuk memberi pelepasan duti import dan pengurangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lima peratus bagi CRS. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pengurangan SST daripada 10 kepada lima peratus itu sudah diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan kini dalam proses semakan Jabatan Peguam Negara bagi tujuan pewartaan. 

"Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab semua pihak termasuk orang awam dan pihak swasta. 

"Justeru, semua pihak perlu menyokong usaha kerajaan untuk mewajibkan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan," katanya memetik laporan dari Berita Harian. 

Jelas Anthony, pelaksanaan pemasangan CRS itu bukan keputusan tergesa-gesa kerajaan, sebaliknya saranan dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sejak dua atau tiga tahun lalu. 

Peraturan itu sepatutnya dilaksanakan Januari 2019, tetapi ditangguhkan untuk memberi masa kepada orang ramai, selain memastikan lebih banyak kesedaran ditingkatkan sebelum pelaksanaannya. 

Pelaksanaan CRS bermula 1 Januari 2020 juga bukan bertujuan membebankan ibu bapa, sebaliknya memastikan keselamatan bayi dan kanak-kanak. 

"Kita faham perkara ini akan mengambil masa dan saya arahkan Jabatan Pengangkutan Jalan tidak mengeluarkan saman dalam tempoh enam bulan pertama perlaksanaannya kelak. 

"Beri kesedaran, nasihat dan teguran kepada ibu bapa. Jika ada yang belum pasang, jangan terus keluarkan saman. 

"Saya faham dengan pemikiran rakyat Malaysia, selagi tidak diwajibkan, mereka tidak akan berbuat demikian," katanya. 

Sumber: Berita Harian