Staff CIMB maut dilanggar pemandu mabuk


Pegawai bank yang baru menyambut hari lahirnya ke-28, Selasa lalu, maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan berhampiran susur keluar Bandar Puteri, Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Klang, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, Nurul Liana Atira Zolkepli meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Adik mangsa, Mohd Syafiq Farhan, 26, berkata, ketika kejadian Nurul Liana dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Telok Panglima Garang, Banting, selepas menjalani kursus di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Kami diberitahu Honda Jazz dipandu kakak dilanggar oleh kereta lain hingga arwah tersepit dan parah di kepala.

“Difahamkan juga, pemandu kereta itu memandu dalam keadaan mabuk dan melarikan diri sejurus kejadian,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Syafiq berkata, arwah kakaknya yang bertugas di CIMB Bank cawangan Meru baru saja diraikan oleh rakan sekerja sempena ulang tahun kelahirannya.

“Jenazah kakak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Telok Panglima Garang selepas selesai bedah siasat dilakukan oleh pihak hospital,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kemalangan membabitkan kereta mangsa dengan Nissan Almera yang dipandu wanita berusia 26 tahun.

Beliau berkata, polis berjaya mengesan wanita itu selepas 24 jam kejadian berlaku dan dia kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Puchong akibat patah bahu kiri.

“Mangsa meninggalkan lokasi kejadian bagi mendapatkan rawatan, berkenaan dakwaan dia mabuk itu masih dalam siasatan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.



Sumber: Harian Metro