(Video) 'Kenapa tak tutup pagar tu...' - Budak kecil berbasikal di depan rumah dilanggar kereta


Viral di media sosial video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan seorang kanak-kanak dilanggar kereta sebaik saja keluar dari rumahnya. 

Berdasarkan tarikh yang tertera pada video itu, kejadian berlaku pada jam 6.27 petang Ahad lalu di lokasi yang tidak dinyatakan. 

Sebelum itu, lelaki dipercayai bapa mangsa sedang membasuh keretanya di depan rumah tanpa menyedari anaknya sedang bermain basikal dan keluar menuju ke jalan raya. 

Dalam masa yang sama, sebuah kereta datang dari arah kiri lalu melanggar kanak-kanak terbabit yang kemudian terseret beberapa meter ke depan. 

Jiran yang ternampak kejadian itu segera berlari mendapatkan mangsa. Mendengar kekecohan itu, bapa mangsa turut berlari ke arah anaknya. 

Ibu mangsa yang berada di dalam rumah juga bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku sebelum dimaklumkan mengenai anaknya telah dilanggar kereta. 

Tidak diketahui keadaan mangsa, namun orang ramai khususnya ibu bapa dinasihatkan sentiasa mengawasi keberadaan anak-anak bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku.